Sidang Puncak Trump-Putin: Apa yang diketahui setakat ini
Presiden Trump mungkin merujuk kepada isu penyerahan wilayah itu apabila beliau berkata tinggal "sedikit sahaja" isu yang masih perlu dihuraikan. (Gambar: AP)
TIADA GENCATAN SENJATA
Pemimpin Ukraine dan Eropah menggesa Presiden Trump untuk mendesak agar gencatan senjata segera dikuatkuasakan. Namun, perkara itu tidak dipersetujui semasa sidang puncak itu.
Presiden Trump berkata "semua pihak bersetuju" bahawa cara terbaik untuk menamatkan "perang dahsyat ini... adalah dengan membincangkan Perjanjian Damai, yang akan menamatkan perang, dan bukan sekadar Perjanjian Gencatan Senjata, yang sering kali tidak dipatuhi".
Pendirian ini dilihat sebagai satu kemenangan bagi Presiden Putin, yang mana tenteranya dikatakan membuat kemajuan baru-baru ini di bahagian timur Ukraine. Beliau juga menyeru rundingan perjanjian damai yang akan menangani apa yang dikatakannya sebagai "punca utama" konflik berkenaan, terutamanya jangkaan keahlian Ukraine dalam NATO.
Menurut Kyiv, tentera Rusia melancarkan 85 dron dan sebuah peluru berpandu di Ukraine antara malam Jumaat hingga Sabtu - termasuk semasa sidang puncak itu sedang berlangsung - manakala Rusia mendakwa ia berjaya kuasai dua lagi desa di bahagian timur Ukraine.
TIADA KESAN BESAR
Sebelum sidang puncak itu berlangsung, Presiden Trump mengancam akan ada "kesan amat besar" jika Presiden Putin gagal bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
Presiden Trump boleh mengenakan tarif sehingga 500 peratus ke atas mana-mana negara yang membantu Rusia dalam peperangan itu, sebagai sebahagian daripada apa yang dikatakannya sebagai "sekatan kedua", menurut Senator Republikan Amerika Lindsey Graham.
Namun, apabila ditanya Fox News mengenai perkara itu selepas perbincangan berkenaan, Presiden Trump berkata, "kerana apa yang berlaku hari ini, saya fikir saya tidak perlu berfikir tentang perkara itu sekarang".
Sementara itu, pemimpin Eropah berkata mereka akan terus meningkatkan tekanan terhadap Rusia, termasuk mengenakan sekatan tambahan, sehingga "tercapai keamanan yang adil dan berkekalan".
TIADA PERKEMBANGAN TENTANG PERTUKARAN WILAYAH
Kebimbangan utama Ukraine menjelang sidang puncak di Alaska ialah Amerika Syarikat akan menggesa Kyiv menyerahkan wilayah yang kini dikuasai Rusia, yang merangkumi sekitar 20 peratus kawasan di negara itu, termasuk Crimea, yang dirampas Rusia pada 2014.
Isu itu tidak disebut oleh Presiden Putin mahupun Presiden Trump sejak pertemuan tersebut. Sungguhpun demikian, Presiden Trump mungkin merujuk kepada isu penyerahan wilayah itu apabila beliau berkata tinggal "sedikit sahaja" isu yang masih perlu dihuraikan.
JAMINAN KESELAMATAN
Jaminan tentang sama ada sebarang perjanjian damai dapat dicapai tidak disebut dalam perisytiharan menyusuli sidang puncak Trump-Putin.
Akan tetapi, Presiden Trump memberitahu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan pemimpin-pemimpin Eropah bahawa jaminan mengikut cara NATO mungkin dicapai untuk Kyiv, kata Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan seorang sumber diplomatik - namun, ia tidak menjanjikan keanggotaan Ukraine dalam NATO.
Perancis, Britain dan beberapa negara lain menyatakan mereka boleh mengerahkan tentera masing-masing ke Ukraine untuk menguatkuasakan perjanjian damai di negara itu, tetapi bukan dikerahkan untuk bertempur.
RANCANGAN UNTUK SIDANG PUNCAK TIGA HALA
Presiden Trump berkata beliau akan bertemu Presiden Zelensky di Washington pada Isnin (18 Ogos), dan berkata perbincangan tiga hala antara dirinya, Encik Putin dan Encik Zelensky boleh diaturkan kemudian.
Awal dari itu, Presiden Trump berkata perjanjian untuk menamatkan perang bergantung hanya pada Encik Zelensky sahaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.