Skip to main content

Dunia

Sidang puncak Putin-Trump ditangguhkan selepas Rusia tolak cadangan gencatan senjata

Sidang puncak yang dirancang antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin ditangguhkan selepas Mosko menolak gencatan senjata serta-merta di Ukraine, sekali gus menjejaskan usaha untuk memulakan semula rundingan bagi menamatkan peperangan tersebut, menurut para pegawai pada Selasa (21 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang puncak Putin-Trump ditangguhkan selepas Rusia tolak cadangan gencatan senjata

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin berjabat tangan semasa sidang media selepas pertemuan mereka bagi merundingkan penamatan perang di Ukraine, di Pangkalan Bersama Elmendorf-Richardson, Anchorage, Alaska, Amerika Syarikat pada 15 Ogos 2025. (Gambar fail: REUTERS/Kevin Lamarque

WASHINGTON: Sidang puncak yang dirancang antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin ditangguhkan selepas Mosko menolak gencatan senjata serta-merta di Ukraine, sekali gus menjejaskan usaha untuk memulakan semula rundingan bagi menamatkan peperangan tersebut, menurut para pegawai pada Selasa (21 Okt).

Seorang pegawai kanan Rumah Putih memberitahu Reuters bahawa “tiada rancangan untuk Presiden Trump bertemu Presiden Putin dalam masa terdekat” selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov memutuskan untuk tidak meneruskan pertemuan bersemuka yang dirancang di Budapest minggu ini.

Pada minggu lalu, Encik Trump mengumumkan bahawa beliau dan Encik Putin akan bertemu tidak lama lagi di Hungary untuk memajukan usaha damai, namun keengganan Mosko untuk mempertimbangkan sebarang konsesi menjejaskan persiapan tersebut. Rusia menegaskan bahawa Ukraine mesti menyerahkan lebih banyak wilayah sebelum sebarang gencatan senjata boleh dilaksanakan.

MOSKO TEGASKAN TUNTUTAN DALAM KENYATAAN RAHSIA

Menurut dua pegawai Amerika Syarikat dan dua lagi sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut, Rusia menghantar dokumen “tidak rasmi” sulit kepada Washington pada hujung minggu lalu bagi mengulangi tuntutannya untuk menguasai wilayah Donbas dengan sepenuhnya, termasuk keseluruhan Luhansk dan sekitar 75 peratus Donetsk.

Dokumen itu secara tidak langsung menolak cadangan Encik Trump bagi gencatan senjata yang akan menghentikan pertempuran di sepanjang garisan hadapan semasa. “Saya rasa pihak Rusia mahukan terlalu banyak,” kata seorang diplomat kanan Eropah.

Pemimpin-pemimpin Eropah pada Selasa menggesa Washington supaya mengekalkan tekanan terhadap Mosko agar menerima gencatan senjata serta-merta dengan garis pertempuran sedia ada dijadikan sebagai tidak permulaan rundingan.

KETUA NATO DI WASHINGTON UNTUK PERBINCANGAN

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte tiba di Washington pada Selasa bagi mengadakan rundingan dengan Encik Trump, yang menurut dua sumber akan berlangsung pada Rabu. Seorang pegawai Barat berkata Encik Rutte merancang untuk membentangkan pendirian bersama Eropah yang menyokong penghentian segera pertempuran dan penyelesaian melalui rundingan berdasarkan kawalan wilayah semasa.

Encik Trump, yang baru-baru ini berbual melalui panggilan telefon dengan Encik Putin, serta bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Rumah Putih, berharap dapat mengadakan satu lagi sidang puncak berprofil tinggi dengan pemimpin Rusia itu selepas pertemuan mereka di Alaska pada Ogos lalu tidak membuahkan hasil.

Namun pertemuan bagi tujuan persediaan antara Encik Rubio dan Encik Lavrov yang dijangka berlangsung di Budapest pada Khamis kini ditangguhkan. Menurut pihak Kremlin, “persiapan rapi” diperlukan dan tiada tarikh yang dimuktamadkan.

“Baik Presiden Trump mahupun Presiden Putin tidak memberikan tarikh yang ditetapkan,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov. “Belum ada kata sepakat.”

EROPAH BERI AMARAN BERHUBUNG DIPLOMASI YANG TERGENDALA

Menteri Luar Hungary Peter Szijjarto, yang pemerintahnya sedang membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah bagi sidang puncak itu, menulis di Facebook: “Beberapa hari mendatang bakal menjadi mencabar.”

Namun dua diplomat kanan Eropah berkata penangguhan pertemuan itu menunjukkan bahawna Washington tidak bersedia untuk meneruskan usahanya jika Rusia tidak melunakkan pendiriannya. “Pihak Rusia tidak mengubah pendirian dan enggan ‘berhenti di mana mereka berada’,” kata seorang diplomat. “Saya rasa Lavrov menyampaikan mesej yang sama, dan Rubio hanya berkata: ‘Jumpa lagi nanti.’”

Kuasa-kuasa Eropah termasuk Britain, Perancis dan Jerman mengeluarkan kenyataan bersama dalam menyokong pendirian Encik Trump bahawa pertempuran perlu dihentikan dengan segera dan agar perhubungan sedia ada dijadikan sebagai asas bagi rundingan akan datang.

EROPAH BIMBANG TRUMP MUNGKIN BERI TERLALU BANYAK KONSENSI

Beberapa sekutu Eropah secara peribadi menyatakan kebimbangan bahawa Encik Trump mungkin bertemu Encik Putin sekali lagi tanpa memperoleh sebarang konsesi yang bermakna.

Laporan dari mesyuarat tertutup antara Encik Trump dan Encik Zelenskyy minggu lalu menunjukkan suasana tegang, dengan presiden Amerika Syarikat itu menekan pihak Kyiv supaya menerima beberapa syarat Rusia. Namun Encik Zelenskyy menggambarkan perbincangan itu sebagai berjaya selepas Encik Trump secara terbuka menyokong pendirian lama Ukraine berhubung gencatan senjata.

Pemimpin-pemimpin Eropah dijangka bertemu Encik Zelenskyy pada hujung minggu ini di sidang puncak Kesatuan Eropah serta dalam satu pertemuan berasingan melibatkan “gabungan negara yang bersedia” untuk membincangkan cadangan penubuhan pasukan multinasional bagi menjamin penghuraian pascaperang, satu langkah yang ditolak Mosko.

Pemilihan Budapest sebagai lokasi berpotensi bagi sidang puncak itu turut menimbulkan ketegangan dalam Kesatuan Eropah memandangkan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban mengekalkan hubungan rapat dengan Mosko.

Poland memberi amaran bahawa pihaknya mungkin memintas dan menahan pesawat Encik Putin jika ia memasuki ruang udara Poland dalam perjalanannya ke Hungary, manakala Bulgaria menyatakan ia akan membenarkan penerbangan itu sekiranya sidang puncak tersebut disahkan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita