Sidang puncak pemimpin Jordan, Mesir & Perancis pada 7 Apr bincang isu Gaza
Penduduk Palestin di kawasan sekolah yang musnah, sehari setelah ia dibedil serangan Israel di bandar al-Tuffah di Bandar Gaza pada 4 April 2025. (Gambar: Omar AL-QATTAA / AFP)
Menurut kenyataan Mahkamah Diraja Jordan, sidang puncak antara Raja Abdullah II, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Perancis Emmanuel Macron akan memberi tumpuan kepada "situasi berbahaya di Gaza."
Sidang puncak itu diadakan sedang tentera Israel meningkatkan serangannya ke atas Gaza sejak 18 Mac lalu yang telah meragut lebih 1,300 nyawa dan mencederakan 3,200 yang lain, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tahanan dan tebusan.
Pada Sabtu (5 Apr), Encik Macron berkata beliau akan ke Mesir untuk menghadiri sidang puncak tiga pihak di Kaherah atas undangan rakan sejawatannya dari Mesir.
Presiden Mesir turut memaklumkan bahawa Encik Abdel Fattah al-Sisi dan Encik Macron telah berbincang mengenai perkembangan di Gaza melalui perbualan telefon dan menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan gencatan senjata segera di wilayah itu.
Hampir 50,700 penduduk Palestin terbunuh di wilayah itu dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perangnya ke atas wilayah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.