Sidang puncak NATO pamerkan kontrak senjata demi pikat Trump
Asap dan kebakaran di tapak berdekatan sebuah hotel di mana Presiden Perancis Emmanuel Macron menginap, di Damsyik, Syria, 7 Jul 2026. (Gambar: Reuters/Yamam Al Shaar)
Langkah ini diambil sedang mereka cuba meredakan kemarahan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap tindak balas Eropah berhubung perang dengan Iran.
Perhimpunan selama dua hari di istana presiden Ankara yang serba luas itu diadakan setahun selepas anggota NATO berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan berkaitan keselamatan kepada lima peratus daripada GDP, di bawah tekanan daripada pemimpin Amerika Syarikat itu.
Ketua NATO Mark Rutte menegaskan bahawa negara-negara Eropah sedang "melaksanakan tugas mereka" dengan memperkukuh belanjawan ketenteraan dan mula mengambil lebih banyak tanggungjawab untuk pertahanan benua mereka dalam menghadapi Rusia.
Demi menarik perhatian Encik Trump sebelum beliau mendarat di Ankara, NATO memulakan acara dengan mengumumkan beberapa siri kontrak senjata di forum industri pertahanan yang gilang-gemilang sebelum sidang puncak utama bermula.
"Syarikat sekutu dan industri dari kedua-dua belah kawasan Atlantik akan mendedahkan projek-projek besar baharu serta menandatangani kontrak yang bernilai berbilion-bilion dolar," kata Encik Rutte.
"Ini merupakan berbilion-bilion dolar yang dilaburkan untuk keselamatan kita, merangsang ekonomi kita, dan menyokong ratusan ribu pekerjaan baharu."
Antara perjanjian awal yang diumumkan termasuklah kontrak untuk dron baharu, pesawat mengisi minyak, dan pesawat pengawasan yang direka untuk memperkukuh keupayaan Eropah bagi melindungi dirinya sendiri.
Namun Encik Trump - yang masih terkilan selepas negara-negara Eropah menyekat tentera Amerika Syarikat daripada menggunakan pangkalan mereka untuk menyerang Iran - meluangkan masa menjelang sidang puncak ini dengan mengecam sekutu-sekutunya kerana tidak bertindak cukup pantas mengikut kemahuannya.
"Sangat tidak masuk akal untuk Amerika Syarikat terus melalui jalan sehala ini sedangkan hubungan ini tidak saling menguntungkan. Mereka tidak ada untuk kita!!!" tulis Encik Trump di laman Truth Social minggu lalu.
Encik Trump yang tawarkan bantuan kepada Encik Putin untuk cari jalan penyelesaian dengan Ukraine, turut bercakap dengan Encik Zelenskyy.
"PERUBAHAN SEBENAR"
Para pemimpin Eropah menyasarkan sekurang-kurangnya untuk mengelakkan pertengkaran dengan pemimpin Amerika Syarikat yang sukar diramal itu, yang mana ia boleh menjejaskan lagi kredibiliti NATO selepas Encik Trump berulang kali mempersoalkan komitmen Washington untuk melindungi sekutunya.
Para diplomat mengharapkan hubungan baik Encik Trump dengan pemimpin Turki Recep Tayyip Erdogan, serta usaha memikat yang berterusan oleh ketua NATO Mark Rutte, bagi mengawal emosi pemimpin Amerika itu.
Namun, memandangkan Encik Trump pernah berselisih faham dengan beberapa pemimpin lain - yang terbaharu dengan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni - terdapat banyak isu sensitif yang boleh mencetuskan kemarahannya.
Bagi menunjukkan kesungguhan mereka terhadap isu Iran, sekutu Eropah yang diketuai oleh Perancis dan Britain merangka satu misi ketenteraan laut yang berpotensi untuk membantu di Selat Hormuz, dan beberapa negara menggerakkan kapal-kapal mereka lebih dekat ke rantau tersebut sebagai persediaan.
Namun situasi kekal tidak menentu, dan pihak Eropah mahukan kejelasan tentang bagaimana perjanjian rapuh Amerika Syarikat dengan Iran berjalan sebelum menghantar angkatan tentera laut mereka.
Walaupun mereka berharap Encik Trump akan menggunakan nada yang lebih bertolak ansur, para pemimpin Eropah sudah mula menerima hakikat bahawa Amerika Syarikat secara perlahan-lahan sedang berundur daripada pakatan mereka.
Washington menyatakan dengan jelas bahawa ia mahu sekutunya mengambil alih peranan utama dalam pertahanan konvensional di benua itu, dan baru-baru ini mengumumkan pengurangan aset yang disediakan untuk para komander NATO.
Negara-negara Eropah akan cuba membuktikan bahawa mereka bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar, di samping cuba memastikan Encik Trump dan kekuatan besar tentera Amerika Syarikat kekal terlibat seaktif mungkin.
"Semua ini adalah bukti berlakunya perubahan sebenar dalam corak pemikiran," kata Encik Rutte. "Ini adalah NATO 3.0. Eropah yang lebih kuat dalam NATO yang lebih kuat."
"KEPUTUSAN YANG TEGAS"
Selain mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk pertahanan mereka sendiri, negara-negara Eropah juga mengambil alih hampir keseluruhan sokongan terhadap Ukraine memandangkan Encik Trump telah mengurangkan bantuan daripada Amerika Syarikat.
Presiden Volodymyr Zelenskyy - yang akan menghadiri majlis makan malam para pemimpin pada Selasa - bakal memperoleh komitmen daripada penyokong Eropahnya di NATO untuk memastikan bantuan ketenteraan sekurang-kurangnya €70 bilion (S$103.39 bilion) terus disalurkan ke Kyiv setiap tahun bagi tahun 2026 dan 2027.
Encik Zelenskyy - yang dijadualkan mengadakan rundingan dengan Encik Trump di sidang puncak itu - menggesa pakatan berkenaan untuk membuat "keputusan yang tegas" dalam mempertingkatkan pertahanan udara Ukraine selepas serangan hebat Rusia mengorbankan hampir 30 orang.
Pemimpin Ukraine itu akan cuba meyakinkan Encik Trump - yang telah mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Vladimir Putin dari Rusia sebelum perhimpunan itu - bahawa Kyiv sedang mengubah hala tuju perang dan beliau patut mendesak Mosko untuk kembali ke meja rundingan damai yang serius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.