Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sidang Puncak Liga Arab di Arab Saudi tamat, luluskan Pengisytiharan Jeddah

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang Puncak Liga Arab di Arab Saudi tamat, luluskan Pengisytiharan Jeddah

Presiden Syria Bashar al-Assad (tengah) dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi (kanan) dan residen Tunisia Kais Saied (kiri). (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 May 2023 01:36PM Dikemas Kini : 20 May 2023 03:15PM

JEDDAH: Sidang Puncak Liga Arab ke-32 di Jeddah, Arab Saudi melabuhkan tirai dengan kesemua negara anggota mencapai kata sepakat meluluskan Pengisytiharan Jeddah yang menyeru diperkukuh perpaduan untuk menyelesaikan isu-isu serantau, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut media tempatan Arab, Al Arabiya TV, pengisytiharan itu mengalu-alukan penyertaan semula Syria ke dalam Liga Arab, selain berikrar untuk mempertingkatkan usaha bagi membantu Damsyik mengatasi krisis di negara itu.

Ia juga mengesahkan Inisiatif Keamanan Arab untuk menghuraikan isu Palestin, meredakan ketegangan di Sudan serta pemilihan presiden baru Lubnan.
  
Pengisytiharan itu juga menyokong inisiatif untuk menggalakkan keselamatan dan kestabilan di Yaman serta menolak campur tangan asing dalam ehwal dalaman negara-negara Arab.

Ia dengan menolak secara mutlak segala bentuk sokongan bagi pembentukan kumpulan bersenjata dan militia di luar skop institusi negara.

Menteri Luar Saudi Putera Faishal bin Farhan Al Saud dinukil oleh Al-Arabiya TV sebagai berkata,
pengisytiharan Jeddah itu akan mengukuhkan lagi kerjasama negara-negara Arab.

Perjuangan Palestin dan usaha untuk membantu menamatkan krisis Syria kekal menjadi keutamaan, katanya pada sidang media.

Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit, berkata sidang puncak itu akan menjadi permulaan bagi negara-negara Arab untuk memahami bahawa untung nasib mereka berada di tangan mereka sendiri.

Sidang puncak itu bermula di bandar Jeddah, Saudi, pada Jumaat dengan penyertaan pemimpin Arab untuk membincangkan isu serantau dan global yang penting untuk kestabilan rantau tersebut.

Presiden Syria Bashar al-Assad menghadirinya buat kali pertama sejak keanggotaan negaranya digantung daripada Liga Arab selepas berlaku perang saudara Syria pada 2011.

Sumber : Bernama/SU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan