Skip to main content

Dunia

Sidang Puncak G20 bermula di Johannesburg dengan seruan memperkukuh kerjasama berbilang hala

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang Puncak G20 bermula di Johannesburg dengan seruan memperkukuh kerjasama berbilang hala
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berjabat tangan semasa bergambar dengan pemimpin-pemimpin G20 yang lain dan pegawai-pegawai pemerintah semasa Sidang Puncak Pemimpin G20 di Pusat Expo Nasrec di Johannesburg pada 22 November 2025.(Gambar: Yves Herman / POOL / AFP)
JOHANNESBURG: Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) yang bermula di Johannesburg pada Sabtu (22 Nov), merupakan kali pertama acara itu diadakan di benua Afrika, lapor Xinhua.

Bertemakan “Perpaduan, Kesamarataan dan Kemampanan”, sidang puncak selama dua hari itu menjadi detik penting bagi Afrika ketika benua itu berusaha memperkukuh peranannya dalam tadbir urus global dan memajukan keutamaan pembangunan yang dikongsi negara-negara Selatan Global.

“G20 menegaskan nilai dan kepentingan kerjasama berbilang hala. Ia mengakui bahawa cabaran yang kita hadapi hanya dapat ditangani melalui kerjasama dan perkongsian,” kata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dalam ucapan pembukaannya.

“Penerimaan perisytiharan sidang puncak ini menghantar isyarat penting kepada dunia bahawa kerjasama berbilang hala mampu memberikan hasil,” kata Encik Ramaphosa. “Ia menunjukkan bahawa sebagai pemimpin G20, kita tetap berpegang kepada ikrar untuk tidak meninggalkan mana-mana individu, komuniti atau negara.”

Sejak menyandang kerusi Presiden G20 tahun lepas, Afrika Selatan memberi tumpuan kepada isu kritikal bagi negara membangun. Empat keutamaannya ialah memperkukuh keupayaan tindak balas dan daya tahan bencana, mempromosikan kemampanan hutang bagi negara berpendapatan rendah, menggerakkan pembiayaan untuk peralihan tenaga yang adil, serta memanfaatkan mineral kritikal untuk pertumbuhan inklusif dan mampan.

“Sebagai anggota pengasas G20, Afrika Selatan berusaha memastikan keutamaan pembangunan negara-negara Selatan Global dan benua Afrika diperkukuh dan dimasukkan secara konsisten dalam agenda G20,” kata Encik Ramaphosa.

Para pemerhati berkata sidang puncak di Johannesburg mencerminkan pengaruh global Afrika yang semakin meningkat serta jangkaan bahawa China dan negara-negara Selatan Global lain akan membantu membina kata sepakat lebih kukuh mengenai kerjasama berbilang hala dan pembangunan terangkum.

Amerika Syarikat enggan menghadiri sidang puncak itu dan menyatakan akan menolak sebarang dokumen hasil sidang sebagai kata sepakat G20 tanpa persetujuannya.

Jurucakap Presiden Ramaphosa, Vincent Magwenya, memberitahu media bahawa “perisytiharan sidang puncak telah diterima sebulat suara oleh para pemimpin di sini di Afrika Selatan”.

Afrika Selatan, yang mengambil alih kerusi Presiden bergilir G20 pada 1 Disember 2024, menjadi negara Afrika pertama memegang jawatan itu. Amerika Syarikat dijadual mengambil alih kerusi Presiden G20 pada 1 Disember 2025.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita