Skip to main content

Dunia

Sidang puncak Amerika-China: China ulangi gesaan gencatan senjata kekal dalam perang ke atas Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang puncak Amerika-China: China ulangi gesaan gencatan senjata kekal dalam perang ke atas Iran

Presiden Donald Trump memberitahu dalam satu temu bual bahawa Presiden Xi Jinping menyatakan sokongan terhadap penyelesaian melalui rundingan dan menawarkan bantuan. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 May 2026 05:59PM
  • China menegaskan perlunya gencatan senjata kekal dalam perang Iran demi keamanan dan kestabilan rantau Teluk.
  • Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memaklumkan bahawa Presiden China Xi Jinping menawarkan bantuan untuk mencari penyelesaian melalui rundingan.
  • Kementerian Luar China menekankan kepentingan membuka semula Selat Hormuz yang terjejas akibat konflik dan sekatan.
  • China kekal sebagai pembeli utama minyak Iran, namun penghantaran terhenti sejak perang bermula kerana sekatan di Selat Hormuz.
Dijana oleh AI
BEIJING: China mengulangi gesaan agar gencatan senjata yang kekal dicapai dalam perang Iran selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa Presiden China Xi Jinping menawarkan bantuan bagi mencari jalan penyelesaian bagi perang berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kementerian Luar China menyentuh mengenai isu Selat Hormuz dengan menyatakan bahawa laluan perkapalan itu harus dibuka semula secepat mungkin.

Gencatan senjata yang komprehensif dan kekal amat diperlukan bagi memajukan usaha memulihkan keamanan serta kestabilan di rantau Teluk, katanya.

"Konflik ini, yang sepatutnya tidak berlaku, tidak mempunyai alasan untuk diteruskan. Mencari penyelesaian dengan lebih awal adalah bermanfaat bagi kedua-dua pihak Amerika Syarikat dan Iran, serta negara-negara di rantau itu dan dunia secara keseluruhannya," menurut kementerian berkenaan.

Encik Trump memberitahu Fox News dalam satu temu bual bahawa Encik Xi sudah menyatakan sokongan bagi mencapai huraian melalui rundingan dan menawarkan bantuan.

"Beliau mahu melihat satu kesepakatan dicapai," kata presiden Amerika Syarikat itu, sambil menambah, "Beliau ada menawarkan diri dengan berkata, 'jika saya boleh membantu dalam apa jua cara sekalipun, saya sedia membantu'."

Kementerian Luar China tidak memberikan ulasan secara langsung mengenai kenyataan Encik Trump itu.

China kekal sebagai pembeli terbesar minyak Iran meskipun ia dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat. Namun, namun penghantaran bekalan itu sudah terhenti sejak permulaan perang berikutan sekatan di Selat Hormuz.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita