Skip to main content

Dunia

Sidang kedua Trump-Kim satu ‘kejayaan’, kata ketua keselamatan Rumah Putih

Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat Encik John Bolton menafikan pada Ahad (3 Mac) bahawa sidang puncak nuklear bersama Korea Utara adalah satu kegagalan, meskipun Presiden Donald Trump tidak meraih sebarang kemajuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang kedua Trump-Kim satu ‘kejayaan’, kata ketua keselamatan Rumah Putih

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dengan Presiden Donald Trump. (Gambar: AFP/KCNA via KNS)

Diterbitkan : 04 Mar 2019 08:38AM Dikemas Kini : 04 Mar 2019 08:42AM

WASHINGTON: Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat Encik John Bolton menafikan pada Ahad (3 Mac) bahawa sidang puncak nuklear bersama Korea Utara adalah satu kegagalan, meskipun Presiden Donald Trump tidak meraih sebarang kemajuan.

Mesyuarat kedua untuk mencapai perjanjian pelucutan senjata nuklear antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dengan Presiden Trump berakhir dengan begitu mendadak sehingga tiada kenyataan bersama dikeluarkan.

Encik Bolton memberitahu CBS bahawa kegagalan Encik Trump untuk mendapatkan komitmen Pyongyang supaya memusnahkan keupayaan nuklear di negara itu sepatutnya dilihat sebagai "satu kejayaan kerana Presiden Trump bertindak untuk melindungi dan mengukuhkan kepentingan Amerika.

Menurutnya, isu tersebut adalah mengenai sama ada Korea Utara menerima apa yang disifatkan oleh Presiden Trump sebagai "perjanjian besar" - pelucutan senjata nuklear sepenuhnya - atau yang lebih kecil, "yang tidak boleh diterima oleh pihak kami."

"Justeru presiden menegakkan pendiriannya. Beliau mempunyai hubungan yang erat dengan Encik Kim Jong Un. Saya langsung tidak melihatnya sebagai satu kegagalan kerana semua kepentingan Amerika dilindungi," tambah Encik Bolton.

Kegagalan sidang itu menyusuli mesyuarat bersejarah kedua-dua pemimpin di Singapura yang hanya menghasilkan komitmen yang samar-samar daripada Encik Kim untuk "melucutkan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea".

Menurut para pegawai kanan, pada minggu sebelum berlangsungnya sidang puncak Hanoi, pihak Korea Utara meminta semua sekatan ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikenakan ke atas Pyongyang sejak Mac 2016, digugurkan.

Sebagai ganti, Pyongyang menawarkan untuk menutup sebahagian kompleks Yongbyon, tapak luas yang merangkumi pelbagai kemudahan - dan Korea Utara juga dipercayai memiliki loji pengayaan uranium yang lain.

Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho bagaimanapun mempertikaikan kenyataan Amerika Syarikat itu. Beliau berkata Pyongyang menawarkan untuk memusnahkan semua "kemudahan penjanaan nuklear di kawasan Yongbyon" sebagai ganti untuk menarik balik sebahagian sekatan yang dikenakan ke atas negaranya.

Presiden Trump menambah pada Jumaat bahawa hubungannya dengan Encik Kim "amat baik" dan seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata proses tersebut masih diteruskan, dengan "banyak peluang untuk terus berunding".

Dakwaan Encik Bolton mengenai kemajuan itu bagaimanapun ditolak oleh para ahli Demokrat, termasuk pengerusi Jawatankuasa Risikan Rumah Putih Encik Adam Schiff, yang menyifatkan mesyuarat Hanoi sebagai satu "kegagalan yang amat besar".

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita