Skip to main content

Dunia

Sidang kedua Trump-Kim di Vietnam pada 27-28 Feb

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Vietnam pada 27 dan 28 Februari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Feb 2019 12:27PM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 09:15PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Vietnam pada 27 dan 28 Februari ini. Presiden Trump mengumumkan demikian semasa menyampaikan ucapan tahunannya kepada Kongres pada Selasa (5 Feb).

"Jika saya tidak dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat, saya rasa kita mungkin sudah berperang dengan Korea Utara," kata Presiden Trump dalam ucapannya.

Awal dari itu, Presiden Trump mendedahkan tarikh bagi sidang puncak berkenaan kepada para penyampai berita, menurut laman berita Amerika Syarikat Politico. Presiden Trump sebelum ini dijangka mengumumkan perincian mengenai sidang puncak bersama Encik Kim itu semasa ucapan tahunannya kepada Kongres.

Namun buat masa ini, belum jelas mengenai bandar manakah yang akan menjadi lokasi bagi sidang puncak tersebut.

Presiden Donald Trump mengadakan pertemuan dengan Encik Kim buat pertama kali pada 12 Jun 2018 di Singapura.

Sejak itu, beliau berhasrat untuk mengadakan sidang puncak kedua meskipun usaha bagi menggesa Korea Utara supaya melucutkan program senjata nuklearnya, yang merupakan satu ancaman kepada Amerika Syarikat, belum lagi membuahkan hasil.

Vietnam, yang mempunyai hubungan muhibah dengan Amerika Syarikat dan Korea Utara, sebelum ini disebut-sebut berkemungkinan besar menjadi lokasi bagi sidang puncak tersebut.

Pada Julai lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo melakukan lawatan ke Vietnam dan menggesa Korea Utara supaya mengikut jejak negara itu. Encik Pompeo turut berkata Presiden Trump percaya bahawa Pyongyang boleh meniru usaha Hanoi dalam mewujudkan hubungan normal dengan Washington dan menjadi lebih makmur selepas berperang dengan negara itu.

Utusan Khas Amerika Syarikat bagi Korea Utara Stephen Biegun dijadual mengadakan rundingan di Pyongyang pada minggu ini bagi melakarkan apa yang disifatkannya sebagai "hala tuju yang kukuh" bagi sidang puncak kedua itu.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita