Skip to main content

Dunia

Sidang COP31 buka tirai, para pemimpin didesak tangani krisis iklim

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) bermula di Antalya, Turki, pada Isnin (9 Nov), dengan pertikaian mengenai isu pembiayaan antara negara maju dengan negara membangun menjadi antara cabaran awal rundingan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang COP31 buka tirai, para pemimpin didesak tangani krisis iklim

Wakil pelbagai negara menghadiri sesi pembukaan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Pusat Ekspo Antalya, Turki, pada 9 November 2026. (Gambar: AFP/Ozan Kose)

Diterbitkan : 09 Nov 2026 07:42PM
COP31 opens as leaders urged to tackle climate crisis
  • COP31 began in Antalya, Turkey, on Nov 9 for a two-week period. Turkey is presiding over the conference, while Australia is leading negotiations under a special arrangement.
  • UN Secretary-General António Guterres called for emissions reductions, a just transition away from fossil fuels, and protection and financing for vulnerable countries, following extreme weather in various regions.
  • Developing countries are calling for discussions on the allocation of funds, while African countries are seeking a threefold increase in adaptation financing. The issue was included under other matters rather than as a separate agenda item.
  • The implementation of past commitments and the use of fossil fuels are expected to cause divisions. The United States has sent no government officials, while the UN warned that global temperatures are expected to exceed the 1.5 degrees Celsius target.
Dijana oleh AI

ANTALYA: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) bermula di Antalya, Turki, pada Isnin (9 Nov), dengan pertikaian mengenai isu pembiayaan antara negara maju dengan negara membangun menjadi antara cabaran awal rundingan.

Setiausaha Agung PBB António Guterres menggesa para pemimpin dunia agar mengambil tindakan lebih serius bagi menangani krisis iklim, selepas dunia berdepan pelbagai bencana akibat cuaca ekstrem sepanjang tempoh setahun lalu.

"Kita sudah memasuki era baharu cuaca ekstrem," kata Encik Guterres dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa negara-negara agar mempercepat usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mempergiat peralihan yang adil daripada bahan api fosil serta menyediakan pembiayaan dan perlindungan kepada negara-negara yang mudah terjejas.

Persidangan selama dua minggu itu berlangsung selepas gelombang haba melampau melanda Eropah dan banjir dahsyat menjejas Nepal, manakala kebakaran hutan besar-besaran pula berlaku di Indonesia.

Fenomena El Nino yang luar biasa kuat turut memburukkan keadaan cuaca ekstrem di seluruh dunia.

PERTIKAIAN PEMBIAYAAN IKLIM

Majlis pembukaan COP31 bermula lewat, selepas para perunding mengadakan perbincangan sehingga lewat Ahad (8 Nov) berhubung tuntutan negara-negara membangun supaya isu pembiayaan iklim dimasukkan dalam agenda rasmi persidangan.

Ketua delegasi Greenpeace ke COP31, Jasper Inventor, berkata persidangan itu telah bermula dengan sukar.

Beliau berkata negara-negara maju mengambil pendirian tegas terhadap cadangan mengadakan perbincangan mengenai kaedah penyaluran dana kepada negara-negara membangun, seperti yang dipersetujui pada COP30 di Brazil tahun lalu.

Sumber yang mengetahui perkembangan rundingan berkata program kerja mengenai pembiayaan iklim akan dimasukkan dalam agenda COP31.

Negara-negara Afrika turut mendesak supaya pembiayaan bagi penyesuaian terhadap perubahan iklim ditingkatkan tiga kali ganda.

Dana tersebut bertujuan membantu negara-negara miskin melaksanakan langkah perlindungan seperti membina benteng laut dan menanam tanaman yang tahan kemarau.

Bagaimanapun, tuntutan itu tidak akan dibincangkan sebagai agenda berasingan, sebaliknya disentuh di bawah perkara lain.

Seorang pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini memberi amaran bahawa tiada keazaman politik untuk membuat ikrar pembiayaan tambahan pada COP31.

PERALIHAN DARIPADA BAHAN API FOSIL JADI TUMPUAN

Turki mempengerusikan COP31, manakala Australia mengetuai rundingan di bawah aturan khas yang dipersetujui kedua-dua negara.

Presiden COP31 yang juga Menteri Sekitaran Turki, Murat Kurum, berkata kelewatan mengambil tindakan terhadap perubahan iklim membawa kos yang besar.

Kedua-dua negara mahu persidangan kali ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan komitmen iklim yang telah dibuat sebelum ini.

Bagaimanapun, perbezaan pendirian mengenai penggunaan bahan api fosil dijangka terus menjadi cabaran.

EU menggesa penggunaan tenaga elektrik yang lebih bersih, tetapi saranan itu berpotensi mencetuskan perdebatan mengenai peranan minyak, gas dan arang batu dalam peralihan tenaga.

Pada COP28 di Dubai pada 2023, negara-negara bersetuju untuk beralih daripada bahan api fosil, tetapi masih belum mencapai persetujuan mengenai pelaksanaannya.

COP30 di Brazil tahun lalu pula berakhir dengan persetujuan yang tidak menyebut secara jelas mengenai bahan api fosil, selepas mendapat tentangan negara-negara pengeluar minyak.

Brazil sebaliknya mengemukakan pelan hala tuju secara sukarela bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil mengikut keadaan setiap negara.

AMERIKA TIDAK HANTAR WAKIL PEMERINTAH

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak menghantar pegawai pemerintahnya ke COP31.

Bagaimanapun, delegasi Kongres Amerika dijadual menghadiri persidangan tersebut.

Pemerhati menjangkakan sukar untuk mencapai kemajuan besar dalam rundingan kali ini, ketika negara-negara berdepan kejutan harga minyak dan ketegangan geopolitik akibat perang Amerika dengan Iran serta konflik Rusia dengan Ukraine.

PBB sebelum ini memberi amaran bahawa suhu global dijangka melepasi paras 1.5 darjah Celsius berbanding zaman praindustri, sekali gus melampaui sasaran utama di bawah Perjanjian Paris.

Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita