Siasatan terhadap Wagner dibatal meski Putin ikrar heret dalang pemberontakan ke muka pengadilan

Presiden Vladimir Putin menyampaikan ucapan di Mosko pada 27 Jun 2023. (Gambar: Sergei Guneyev/ AP)
MOSKO: Para penyiasat Rusia sudah membatalkan siasatan terhadap pemberontakan tentera yang dilakukan kumpulan Wagner. Kementerian Rusia hari ini (27 Jun) turut mengumumkan bahawa para pejuang Wagner akan menyerahkan senjata mereka kepada pihak tentera.
Perkembangan itu berlaku selepas Presiden Rusia Vladimir Putin, dalam satu ucapan ke seluruh negara, berikrar mahu mengheret dalang-dalang di sebalik pemberontakan itu ke muka pengadilan.
Presiden Putin mendakwa bahawa musuh-musuh Rusia mahu menyaksikan negaranya terjerumus ke dalam "kegelisahan awam berdarah".
Bagaimanapun, menurutnya, semua langkah yang perlu sudah beliau ambil demi melindungi Rusia dan rakyatnya.
Beliau juga mendakwa sudah mengambil langkah untuk mengelakkan pertumpahan darah serius dengan memberi peluang kepada mereka yang "sudah melakukan kesalahan" supaya sedar kembali.
Encik Putin turut mengucapkan terima kasih kepada para pejuang dan pemimpin kumpulan Wagner, kerana berundur hingga keganasan dapat dielakkan.
Beliau menambah, akan menepati janji untuk membiarkan para pemberontak memilih - sama ada berpindah ke Belarus, kekal bekerja dengan tentera Rusia, atau kembali ke pangkuan keluargamasing-masing.
Nasib pemimpin Wagner, Yevgeny Proghozin tidak disentuh sama sekali.
Dalam pada itu, Presiden Joe Biden menyangkal dakwaan Mosko bahawa Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya memainkan peranan di sebalik pemberontakan itu.
Encik Biden menyifatkannya sebagai satu krisis dalaman Mosko, serta memberi jaminan bahawa pihaknya sedang memantau keadaan, sebelum memberikan tindak balas.
"Amat penting untuk kami selaraskan tindak balas kami serta apa yang boleh dijangkakan. Kami sepakat, semua sekutu setuju dengan saya, kami perlu pastikan tidak memberi Putin sebarang alasan, biar saya tekankan, kita tidak memberi Putin sebarang alasan untuk meletakkan kesalahan ke atas dunia barat atau NATO," kata Encik Biden.
"Kami telah jelaskan bahawa kami tidak terlibat, kami tidak ada kena-mengena dengan perkara ini."
Washington amat prihatin dengan pelbagai perkembangan di Mosko memandangkan Rusia merupakan salah satu kuasa nuklear terbesar dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.