Skip to main content

Dunia

Siasatan terhadap Rosmah Mansor selesai, diserah kepada peguam negara

Siasatan terhadap isteri mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Rosmah Mansor, sudahpun siap dan diserahkan kepada Peguam Negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull.

Anggaran Waktu Membaca:
Siasatan terhadap Rosmah Mansor selesai, diserah kepada peguam negara

Rosmah Mansor sebelum ini dijangka berdepan lebih 20 tuduhan termasuk pengubahan wang haram. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Sep 2018 07:45AM Dikemas Kini : 25 Sep 2018 07:48AM

ARAU: Siasatan terhadap isteri mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Rosmah Mansor, sudahpun siap dan diserahkan kepada Peguam Negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull.

“Agensi ini hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan dan terserah kepada Peguam Negara untuk mendakwa Rosmah atau tidak,” kata Encik Mohd Shukri.

Sebelum ini, Cik Rosmah dilaporkan dijangka menghadapi lebih 20 tuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada Jun lalu, Cik Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Pada Khamis lalu (20 Sep), Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki berkata bahawa agensi itu tidak menolak kemungkinan Cik Rosmah akan didakwa pada masa terdekat.

Encik Mohd Shukri bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh jawab soalan tuan-tuan sama ada dia (Rosmah) akan didakwa kerana ia di luar bidang kuasa kami,” kata beliau.

Semasa menjawab soalan seorang pelajar mengenai mengapa mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dibebaskan daripada tuduhan rasuah pembelian banglo selepas pilihan raya umum ke-14 lalu, Encik Mohd Shukri berkata kuasa penuh untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara.

Menyentuh pula mengenai kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, bahawa wujud individu berkuasa menawarkan kontrak untuk mendapat sokongan dalam pemilihan parti itu, Encik Mohd Shukri meminta Encik Anwar supaya memberi maklumat mengenai kewujudan individu berkenaan.

Beliau berkata, adalah sukar untuk SPRM menjalankan siasatan tanpa maklumat.

Pada Isnin (24 Sep), Encik Anwar dilaporkan mengakui bahawa penawaran itu berlaku sambil menegaskan beliau sama sekali tidak berkompromi dengan pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita