Siasatan terhadap platform media sosial X dibuka pendakwa raya Perancis
Pendakwa raya Perancis membuka siasatan terhadap platform media sosial X milik Elon Musk atas dakwaan algoritma berat sebelah.

Laporan mengenai siasatan terhadap X menggariskan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap kuasa yang ada pada platform itu. (Gambar: AFP/Kirill KUDRYAVTSEV)
Berita mengenai siasatan itu timbul beberapa hari sebelum berlangsungnya satu sidang puncak AI di Paris yang dijangka dihadiri para pemimpin dunia termasuk Naib Presiden Amerika JD Vance, dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, serta eksekutif dari syarikat Alphabet dan Microsoft.
Menurut pejabat pendakwa raya Paris, siasatan dimulakan selepas ia dihubungi seorang ahli parlimen pada 12 Januari yang mendakwa penggunaan algoritma berat sebelah X berkemungkinan telah menganggu operasi sistem pemprosesan data automatik.
Platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, tidak memberi sebarang respons terhadap permintaan maklum balas.
Laporan mengenai siasatan ini menggariskan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap kuasa yang ada pada platform X, selepas ia dibeli oleh jutawan teknologi Musk.
Sebelum ini, Encik Musk menggunakan X secara terbuka bagi menyokong parti dan gerakan sayap kanan di beberapa negara, termasuk Jerman dan Britain. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan adanya campur tangan asing yang tidak wajar.
Ahli parlimen Perancis, Eric Bothorel berkata dalam wadah X bahawa beliau telah menulis surat kepada unit siber J3 di pejabat pendakwa raya Paris berkenaan kebimbangannya dimana X menggunakan algoritma yang berat sebelah, menurut laporan Franceinfo.
"Pendakwa raya dan pembantu khusus dari unit siber sedang menganalisisnya dan menjalankan pemeriksaan teknikal awal," kata pejabat pendakwa raya Paris dalam satu usan emel kepada sebuah agensi berita.
"Saya telah menghantar surat kepada pejabat pendakwa siber J3 mengenai perkara ini pada 12 Januari," tulis Bothorel di X.
Unit J3 di pejabat pendakwa raya Paris mengetuai siasatan terhadap bos Telegram, Pavel Durov, yang ditahan selepas tiba di lapangan terbang Paris, tahun lalu. Durov, yang kini dibebaskan dengan ikat jamin, menafikan tuduhan tersebut. Namun, Telegram sejak itu mengatakan bahawa mereka sedang bekerjasama lebih rapat dengan pihak polis untuk menghapuskan kandungan haram.
Unit J3 juga menunjukkan kesediaan untuk menggunakan undang-undang baharu dan agresif untuk menyasarkan pemilik-pemilik platform utama.
Di Brazil, X telah disekat lebih dari sebulan tahun lalu kerana gagal menghentikan penyebaran maklumat palsu, sebelum akhirnya mematuhi perintah Mahkamah Agung yang membenarkan rangkaian itu disambung semula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.