Skip to main content

Dunia

Siasatan terhadap CEO Nvidia Jensen Huang cetus kebimbangan pelabur, penganalisis berbeza pandangan

Siasatan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang berhubung dakwaan beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penganalisis dan tokoh korporat, dengan sebahagian daripada mereka memberi amaran mengenai kemungkinan kesannya terhadap kepimpinan syarikat dan industri semikonduktor.

Anggaran Waktu Membaca:
Siasatan terhadap CEO Nvidia Jensen Huang cetus kebimbangan pelabur, penganalisis berbeza pandangan

Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang berucap semasa Sidang Puncak Invest in Germany di Berlin, Jerman, pada 19 Oktober 2026. (Gambar fail: REUTERS/Lisi Niesner)

Diterbitkan : 09 Nov 2026 04:48PM
Investigation into Nvidia CEO Jensen Huang raises investor concerns, with analysts divided
  • Nvidia’s board is investigating allegations that Jensen Huang was targeted by foreign intelligence, following media reports linking him to a Chinese businesswoman who was alleged to have passed information to Beijing.
  • Analysts warned that a prolonged investigation, delayed investment or disruption to product deliveries could affect Nvidia, South Korean investors and the semiconductor industry, although the immediate impact was expected to be limited.
  • Gary Black raised the possibility that Huang could lose his position and investors could reduce their holdings, while Donald Trump, Bill Ackman and Mohamed A. El-Erian highlighted uncertainties over national security, governance and leadership.
  • Josh Gilbert said short-term sentiment could be affected, but the long-term outlook depended on changes in leadership. Nvidia’s financial results on Nov 17 are in focus, while the company has yet to announce the investigation’s findings.
Dijana oleh AI

AMERIKA SYARIKAT: Siasatan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang berhubung dakwaan beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penganalisis dan tokoh korporat, dengan sebahagian daripada mereka memberi amaran mengenai kemungkinan kesannya terhadap kepimpinan syarikat dan industri semikonduktor.

Lembaga pengarah Nvidia sedang menyiasat sama ada Encik Huang menjadi sasaran operasi perisikan asing, menyusuli laporan media yang mendakwa beliau mempunyai hubungan rapat dengan seorang ahli perniagaan wanita China yang didakwa menyalurkan maklumat kepada Beijing.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan kepimpinan Nvidia, yang memainkan peranan utama dalam industri cip kecerdasan buatan (AI) global.

RISIKO TERHADAP PELABURAN DAN INDUSTRI CIP

Penganalisis kanan NH Investment & Securities, Ryu Young-ho, berkata pemerintah Amerika Syarikat dipercayai sudah mengetahui perkara yang melibatkan Encik Huang sejak beberapa bulan lalu.

Oleh itu, beliau menjangkakan kesan segera terhadap Nvidia tidak begitu besar.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa siasatan berpanjangan atau semakan dalaman yang menyebabkan Nvidia menangguhkan keputusan pelaburannya boleh membawa risiko kepada syarikat Korea Selatan.

Menurutnya, sebarang kelewatan dalam penghantaran atau pelancaran produk Nvidia juga boleh memberi kesan lebih luas kepada industri semikonduktor.

Sementara itu, pelabur Tesla yang menguruskan dana Future Fund LLC, Gary Black, meragui kemampuan Encik Huang untuk terus menerajui Nvidia.

Beliau berpandangan bahawa isu berkaitan tatalaku dan pertimbangan Encik Huang boleh menyebabkan beliau disingkirkan, meskipun tiada jenayah atau kesalahan sivil yang dibuktikan terhadapnya.

Encik Black turut memberi amaran bahawa ketidaktentuan mengenai pengganti Encik Huang boleh mendorong ramai pengurus portfolio mengurangkan pegangan saham Nvidia dalam beberapa minggu akan datang.

TRUMP DAN TOKOH KORPORAT BERI REAKSI

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau belum berbincang dengan Encik Huang mengenai perkara tersebut.

"Saya belum bercakap dengannya mengenai perkara itu. Saya hanya tahu beliau seorang yang baik, tetapi kita tidak pernah tahu apa yang sebenarnya berlaku. Saya berharap semuanya baik-baik sahaja. Saya rasa beliau seorang yang terhormat," kata Encik Trump.

Ketua Pegawai Eksekutif Pershing Square, Bill Ackman, pula berkata dakwaan tersebut perlu dipandang serius sekiranya ia melibatkan lebih daripada sekadar hubungan sulit.

Beliau berharap perkembangan itu tidak membawa risiko kepada keselamatan negara Amerika Syarikat.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif PIMCO, Mohamed A. El-Erian, berkata siasatan tersebut berlaku pada waktu yang kurang sesuai, memandangkan Nvidia memainkan peranan penting dalam sektor teknologi, pasaran kewangan dan ekonomi.

Menurutnya, para pelabur juga mungkin menghadapi kesukaran menilai risiko berkaitan kepimpinan utama syarikat serta isu tadbir urus, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan keselamatan negara.

PENGUMUMAN KEPUTUSAN KEWANGAN JADI TUMPUAN

Penganalisis utama eToro, Josh Gilbert, berkata siasatan tersebut mungkin menjejas sentimen pelabur dalam jangka pendek.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perkembangan itu tidak semestinya mengubah prospek jangka panjang Nvidia, kecuali jika berlaku pertukaran kepimpinan.

Menurutnya, pengumuman keputusan kewangan Nvidia pada 17 November akan menjadi ujian penting seterusnya bagi syarikat tersebut.

Ketua Penyelidikan Pepperstone, Chris Weston, pula tidak menjangkakan Encik Huang akan digantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Beliau berkata sebarang kemungkinan bahawa Encik Huang akan berundur boleh memberi kesan besar kepada saham Nvidia kerana beliau merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam industri AI.

Bagaimanapun, Encik Weston mengakui keadaan boleh menjadi lebih serius sekiranya dakwaan pengintipan terhadap wanita berkenaan disahkan.

Setakat ini, Nvidia belum mengumumkan sebarang keputusan daripada siasatan lembaga pengarahnya.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita