Skip to main content

Dunia

Siasatan Rasuah Kuota Haji Indonesia 2024: 3 pegawai termasuk mantan menteri agama dilarang ke luar negara

Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) pada Rabu (13 Ogos) menggeledah dua lokasi terkait kes rasuah melibatkan penentuan kuota haji bagi 2024.

Anggaran Waktu Membaca:
Siasatan Rasuah Kuota Haji Indonesia 2024: 3 pegawai termasuk mantan menteri agama dilarang ke luar negara

Jurucakap KPK, Budi Prasetyo menyampaikan keterangan berhubung kes rasuah membabitkan penentuan kuota haji pada 2024, di Gedung Merah Putih KPK, Jakarta pada 26 Jun 2025. (Gambar: ANTARA FOTO/Bayu Pratama S/foc.)

JAKARTA: Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) pada Rabu (13 Ogos) menggeledah dua lokasi terkait kes rasuah melibatkan penentuan kuota haji bagi 2024.

Lokasi pertama ialah rumah pihak terkait di Depok, Jawa Barat. Semasa menggeledah lokasi itu, para penyiasat merampas sebuah kenderaan dan beberapa aset.

“Hari ini KPK melakukan penggeledahan di dua lokasi, pertama, rumah pihak terkait yang berlokasi di Depok, dan diamankan satu unit kenderaan roda empat serta beberapa aset,” kata jurucakap KPK, Budi Prasetyo, dalam kenyataannya pada Rabu (13 Ogos).

KPK turut menggeledah Pejabat Direktorat Jeneral Penyelenggaraan Haji dan Umrah (Ditjen PHU) di Kementerian Agama.

“Tim (pasukan penyiasat) mengamankan barang bukti berupa dokumen dan BBE (barang bukti elektronik),” ujarnya.

KPK turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Agama kerana membantu dan memberi kerjasama sepanjang proses itu.

KPK kini menyiasat kes rasuah berhubung penentuan kuota haji 2023-2024 di Kementerian Agama, yang berlaku semasa pentadbiran Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas.

Dalam kes itu, KPK mengesyaki berlaku penyelewengan dalam pembahagian 20,000 kuota tambahan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

Berdasarkan Pasal 64 Ayat 2 Undang-Undang Nombor 8 Tahun 2019 tentang Penyelenggaraan Ibadah Haji dan Umrah, kuota haji khusus ditetapkan sebanyak lapan peratus, manakala kuota haji biasa ditetapkan sebanyak 92 peratus.

Dengan itu, 20,000 kuota tambahan haji itu sepatutnya diagihkan kepada 18,400 atau 92 peratus daripadanya untuk haji biasa dan 1,600 atau lapan peratus untuk haji khusus.

Tetapi, aturan tersebut tidak dilaksanakan oleh Kementerian Agama.

“Namun, kemudian, ini tidak sesuai, itu yang menjadi perbuatan melawan hukumnya, ia tidak mengikut aturan itu, tetapi dibahagi dua (iaitu) 10,000 untuk reguler (biasa), 10,000 lagi untuk kuota khusus”.

“Jadi kan berbeza, harusnya 92 persen (peratus) dengan 8 persen, ini menjadi 50 persen, 50 persen. Itu menyalahi aturan yang ada,”tambah Encik Budi Prasetyo.

KPK menganggarkan kerugian Indonesia dalam kes tersebut mencecah Rp1 trilion (S$77,489,800).

KPK juga sudah menghalang tiga individu daripada meninggalkan negara bagi tujuan siasatan, iaitu mantan Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas; mantan kakitangan khas Yaqut, Ishfah Abidal Aziz; dan pengusaha biro perjalanan haji dan umrah, Fuad Hasan Masyhur.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita