Siasatan nahas pesawat Jeju Air temui bukti juruterbang matikan enjin sebelum terhempas
Siasatan yang diterajui Korea Selatan berhubung nahas pesawat Jeju Air pada Disember lalu mempunyai "bukti jelas" bahawa para juruterbang mematikan salah satu enjin yang tidak mengalami kerosakan teruk selepas pesawat itu melanggar burung, menurut sumber pada Isnin (21 Jul).
Pasukan penyelamat di tapak nahas Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan pada 30 Disember 2024. (Gambar: Reuters/Kim Soo-hyeon)
Sumber itu menyatakan bukti itu, termasuk perakam suara kokpit, data komputer dan suis enjin fizikal, yang ditemui dalam serpihan, menunjukkan juruterbang mematikan enjin kiri, dan bukan enjin kanan, sebagai langkah kecemasan selepas ia dilanggar burung sejurus sebelum ia dijadual mendarat.
"Pasukan penyiasat mempunyai bukti jelas dan data sandarannya, jadi penemuannya tidak akan berubah," menurut sumber itu kepada Reuters dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana para penyiasat belum menerbitkan laporan rasmi termasuk bukti tersebut.
Sumber pemerintah berkata pemeriksaan enjin pesawat itu mendapati tiada kerosakan ditemui sebelum pesawat itu melanggar burung lalu terhempas.
Para penyiasat memberitahu keluarga mangsa dalam satu taklimat pada Sabtu (19 Jul) bahawa enjin kanan pesawat itu mengalami kerosakan teruk selepas dilanggar burung itu berbanding enjin kiri.
Selain itu, terdapat bukti bahawa juruterbang pesawat mematikan enjin kiri yang tidak rosak teruk, menurut sumber ketiga yang hadir di taklimat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.