Siasatan kes FashionValet dijangka selesai dalam dua minggu
Siasatan membabitkan pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Vivy Yusof dan Fadzarudin Shah Anuar, yang terkait kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dijangka selesai dalam masa dua minggu.
(Gambar: Facebook/FashionValet.com)
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau telah mengarahkan siasatan kes berkenaan dipercepatkan.
“Saksi yang sudah dirakam keterangan masih lagi 14 orang dan mungkin empat orang saksi tambahan akan turut diambil keterangan,” jelasnya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media 2024 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia yang turut disertai lebih 70 pengamal media.
Menurutnya, SPRM juga sudah membekukan akaun FashionValet termasuk dari 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple).
Apabila ditanya jika SPRM dapat mengesan penyelewengan dalam siasatan kes berkenaan, Encik Azam berkata butirannya masih belum boleh dikongsi.
Beliau juga akan menyerahkan hal itu kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskannya.
Pihak media sebelum ini melaporkan pasangan pengasas FashionValet yang terkait kes kerugian pelaburan Khazanah dan PNB memberi keterangan kepada SPRM setelah suruhanjaya itu mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta (S$13.2 juta) yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.