Siasatan isu RCI Tabung Haji diteruskan untuk pastikan negara tidak terus tanggung kerugian: Anwar
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya salah laku, berhubung isu Lembaga Tabung Haji. (Gambar fail: Bernama)
- Anwar Ibrahim menegaskan siasatan isu Tabung Haji akan diteruskan berdasarkan laporan RCI untuk elak kerugian negara.
- Kerajaan akan bertindak jika ada bukti salah laku, namun proses mesti adil dan mengikut undang-undang.
- Laporan RCI oleh JAKIM mendedahkan kelemahan pengurusan TH antara 2014 hingga 2020, dengan kebanyakan syor penambahbaikan telah dilaksanakan.
- Kerajaan komited membanteras ketirisan serta memperkukuh bantuan dan teknologi demi manfaat rakyat pelbagai lapisan.
Encik Anwar menegaskan bahawa tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan, namun proses berkenaan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.
“Macam (siasatan RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, (tetapi apabila) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.
“Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan mentadbir," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, pada Sabtu (29 Ogos).
Encik Anwar berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya salah laku.
Pada 29 Julai lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan institusi berkenaan bagi tempoh tersebut, selain mengemukakan 25 syor tindakan peningkatan dengan 75 peratus daripadanya sudah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Encik Anwar berkata usaha membanteras ketirisan perlu diteruskan kerana Malaysia mempunyai sumber kewangan yang besar, namun sebahagian manfaatnya tidak sampai kepada rakyat akibat kebocoran dalam pengurusan dana dan peruntukan negara.
Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha membendung ketirisan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Apa tujuan ambil tindakan? Supaya (dapat) halang ketirisan. Siapa kata Malaysia ini miskin? Bukan, (cuma bantuan) tidak sampai ke bawah sebab banyak bocor di tengah jalan,” kata beliau.
Sementara itu, Encik Anwar menegaskan bahawa kerajaan kekal komited membantu semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang menyentuh keperluan rakyat secara langsung.
Beliau berkata bantuan kerajaan perlu merangkumi usaha membantu rakyat menjana pendapatan, mendapatkan pendidikan serta menguasai kemahiran dan teknologi.
Kerajaan, kata beliau, sudah menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), namun usaha memperkasakan rakyat untuk berdikari perlu terus dipertingkat.
Dalam pada itu, Encik Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya dalam membawa kemudahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) ke kawasan luar bandar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.