Skip to main content

Dunia

Siasatan awal kebocoran data peribadi 5 juta penumpang Airasia kesan serangan siber

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Siasatan awal berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia mendapati, berlakunya serangan siber ke atas sistem server AirAsia pada 12 November lalu yang berpunca dari akses tanpa kebenaran, mengakibatkan serangan perisian tebusan.

Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil berkata serangan siber itu berpotensi menyebabkan kebocoran data dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan serta impak keseluruhan insiden yang berlaku.

“Pasukan Penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM), memulakan siasatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A, yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Disember 2022.

“Susulan daripada perbincangan tersebut, Capital A diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan, dengan siasatan kes ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (10 Dis).

Bagaimanapun, beliau berkata perincian berhubung kes berkenaan tidak dapat didedahkan kepada umum ketika ini sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

Encik Fahmi menegaskan Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia memandang serius terhadap dakwaan berhubung insiden ketirisan data peribadi akibat digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin.

Beliau turut menggesa semua pengguna data supaya sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.

“Selain daripada itu, pengguna data hendaklah menggariskan dasar keselamatan siber dan memastikan dasar tersebut dipatuhi sebagai langkah bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada bulan lalu, media tempatan melaporkan data peribadi penumpang dan pekerja syarikat penerbangan tambang rendah itu didakwa mengalami kebocoran selepas digodam kumpulan penggodam dikenali sebagai Daixin.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita