Skip to main content

Dunia

Siapa Yahya Sinwar yang jadi pengganti Ismail Haniyeh?

Anggaran Waktu Membaca:
CARIKAN GAZA: Hamas mengumumkan ketua baharu mereka di Carikan Gaza, Yahya Sinwar, sebagai ketua biro politik, sekali gus menggantikan Ismail Haniyeh yang dibunuh minggu lalu.

Siapakah beliau dan apakah mesej yang disampaikan melalui pelantikannya?

Hamas mempunyai beberapa pemimpin yang berada di tempat lebih selamat di luar Palestin, manakala Encik Sinwar pada saat ini sedang bersama penduduk Gaza, yang kian berdepan serangan Israel.

Selain itu, Encik Sinwar juga dilihat sebagai sosok yang lebih berani dalam menentang Israel. Beliau dipercayai telah mendalangi serangan ke atas Israel pada 7 Oktober, lapor Republika.

Israel tidak menyembunyikan niat mereka untuk membunuh Encik Sinwar, dengan seorang anggota tentera berkata bahawa Encik Sinwar kini "hidup dalam waktu yang dipinjam".

Ini bermakna pelantikan Encik Sinwar juga merupakan mesej penting kepada Israel, iaitu penentangan di Gaza tidak akan berubah. Pelantikan tersebut malah dapat dilihat sebagai cabaran buat Israel.


“Beliau [Sinwar] telah naik kepada kedudukan yang berpengaruh dalam Hamas, dengan mengetuai Hamas di Gaza.

"Keputusan Hamas untuk melantik beliau sebagai ketua gerakan itu kini meletakkan Gaza sebagai pusat perhatian, bukan sahaja di medan perang, tetapi juga cara Hamas beroperasi," kata Nour Odeh, seorang penganalisis politik Palestin yang berpangkalan di Ramallah, kepada Al Jazeera.

“Dan ini benar-benar menghantar isyarat, mengenai rundingan gencatan senjata, bahawa Gaza yang membuat keputusan.”

Encik Sinwar kini akan cuba memimpin Hamas dalam masa yang tidak menentu di seluruh wilayah tersebut, dari lokasi yang tidak diketahui di Gaza.

Yang pasti, pemimpin Palestin yang berada di Gaza itu adalah musuh utama Israel.

Oleh itu, dengan memilih Encik Sinwar sebagai ketua biro politik, Hamas mengirimkan mesej penentangan kepada pemerintah Israel.

Namun, masih belum jelas bagaimana Encik Sinwar akan berkomunikasi dengan anggota Hamas, menjalankan operasi politik seharian kumpulan itu, dan mengawasi rundingan gencatan senjata di Gaza, sedang beliau bersembunyi.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita