Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa sebenarnya Abdul Somad Batubara?

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa sebenarnya Abdul Somad Batubara?

(Gambar: @ustadzabdulsomad_official/Instagram)

Diterbitkan : 24 May 2022 12:57PM Dikemas Kini : 25 May 2022 12:46AM

SINGAPURA: Kebelakangan ini insiden pendakwah asal Indonesia - Abdul Somad Batubara - yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura mencetuskan pelbagai reaksi di alam maya. 

Para penyokongnya malah mengadakan bantahan di Kedutaan Singapura di Jakarta dan Konsulat-Jeneral Singapura di Medan pada Jumaat lalu (20 Mei). 

Bukan itu sahaja. Singapura dituduh sebagai sebuah "negara Islamofobik" dan para pemimpinnya digesa supaya memohon maaf kepada masyarakat Islam dan rakyat Indonesia dalam tempoh 48 jam. Ada pengikut Abdul Somad juga mengancam akan bertindak sambil menyebut tentang serangan 9/11.

Siapa sebenarnya Abdul Somad sehingga berupaya mencetuskan reaksi sedemikian dalam kalangan pengikutnya apabila tidak dibenarkan masuk ke Singapura? Ayuh baca rencana ini untuk mendapatkan jawapannya... 

MENGAKU USTAZ, ABDUL SOMAD POPULAR MENERUSI YOUTUBE

Abdul Somad, 45 tahun, berasal dari Sumatra di Kepulauan Riau tetapi dipercayai menjalani pendidikan di Mesir, Maghribi dan Sudan. 

Beliau mengaku dirinya sebagai seorang ustaz lalu menyampaikan ceramah di merata Indonesia.

Ceramahnya turut dimuat naik ke wadah-wadah media sosial dan dari situlah Abdul Somad menjadi semakin popular, terutama sekali dalam kalangan Muslim konservatif. Saluran YouTube beliau sahaja dilanggani lebih 2.7 juta pengguna. 

(Petikan gambar dari YouTube)

Syarahan Abdul Somad mencakupi pelbagai topik - dari isu-isu keagamaan, keibubapaan sehinggalah bahaya terjerumus dalam kancah dadah.  

Mesejnya tentang Islam ringkas tetapi karisma serta cara penyampaiannya yang suka bercanda sering kali menambat hati para pendengar. 

Sungguhpun demikian, beberapa ajarannya mencetuskan kontroversi. 

Antaranya, Abdul Somad secara terbuka mengatakan bahawa pengeboman nekad dalam konteks konflik Israel-Palestin adalah wajar dan boleh dianggap operasi "mati syahid". 

Abdul Somad juga dilaporkan mengeluarkan komen yang merendah-rendahkan penganut agama lain dan secara terbuka melabel mereka yang bukan Muslim sebagai "kafir". 

DIBUANG DARI SENARAI PENDAKWAH ISLAM INDONESIA 

Ajaran Abdul Somad yang boleh menimbulkan perbalahan seperti itulah sering dikritik di Indonesia. Pada 2018, beliau dibuang daripada senarai pendakwah Islam sederhana Kementerian Ehwal Agama Indonesia. 

Beberapa kumpulan agama Islam menolak ajarannya sambil menarik perhatian bahawa beliau menyebarkan ajaran radikal dan menyebabkan pertikaian dalam kalangan masyarakat Islam tempatan. 

(Gambar: @ustadzabdulsomad_official/Instagram)

Pakar-pakar pula berpandangan bahawa ceramah Abdul Somad yang penuh kontroversi hanya bertujuan memenuhi permintaan para pengikut beliau yang sebahagian besarnya bersikap konservatif. 

"Beliau perlu mengeluarkan kenyataan yang ingin didengar para pengikutnya. Ada kenyataannya yang berunsur radikal atau berkontroversi tidak dipersetujui kebanyakan sarjana Islam lain, mahupun masyarakat Islam di sini secara umumnya," kata Pengarah Negara Persatuan Antarabangsa bagi Anti-Keganasan dan Keselamatan (IACSP) Indonesia, Encik Rakyan Adibrata. 

"Misalnya, beliau mendakwa ada jinn yang hidup pada salib Kristian. Ini bercanggah dengan nilai-nilai dalam Quran itu sendiri, yang menyatakan bahawa anda tidak boleh mempersendakan agama lain," tambahnya. 

MENGAPA SINGAPURA TIDAK BENARKAN ABDUL SOMAD LEPAS IMIGRESEN? 

Pada 16 Mei, Abdul Somad dan enam lagi individu lain melakukan perjalanan dari Batam ke Terminal Feri Tanah Merah di Singapura. 

Setibanya di sini, beliau bersama 'rombongannya' tidak dibenarkan masuk dan sebaliknya dihantar pulang ke Batam. 

Abdul Somad menceritakan apa yang berlaku di media sosial dan mendakwa beliau ditahan serta disoal siasat dalam sebuah bilik selama sejam sebelum dihantar pulang. 

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura mengeluarkan satu kenyataan rasmi pada keesokan harinya, yang mana ia turut menjelaskan bahawa kemasukan seseorang bukanlah 'automatik' mahupun hak pelawat. 

Kementerian itu menambah, Pemerintah Singapura memandang serius tindakan individu yang menghasut keganasan atau menyebarkan ajaran ekstemis yang memecahbelahkan masyarakat. Semua ini dilakukan Abdul Somad dan ini tidak dapat diterima dalam masyarakat Singapura. 

"Singapura mengambil pendekatan berprinsip. Ia tidak meminggirkan mana-mana kumpulan agama - baik agama Islam, Kristian, Hindu ataupun Buddha. Saya rasa pendekatan kami munasabah, iaitu kami sama sekali tidak dapat bertolak ansur dengan sebarang individu yang memperlekehkan prinsip keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura," kata Zamil Kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat. 

"Dan kita harus bertegas dengan pendirian ini, tidak kiralah jika individu terbabit adalah rakyat tempatan atau warga asing." 

PRESIDEN HALIMAH YACOB, PM LEE DIANCAM

Tidak lama selepas Abdul Somad dikhabarkan tidak dibenarkan masuk ke Singapura, para pengikutnya membanjiri akaun-akaun media sosial para penjawat politik dan agensi-agensi pemerintah Singapura. Ini termasuk laman Instagram Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. 

Komen-komen yang dilontarkan mengusulkan boikot terhadap Singapura, dan juga serangan siber ke atas saluran-saluran rasmi pemerintah. 

Di Indonesia, beberapa ratus penunjuk perasaan mengadakan bantahan di bangunan Konsulat-Jeneral Singapura di Medan sementara puluhan pengikut Abdul Somad berhimpun di Kedutaan Singapura di Jakarta. 

Mereka menggesa Singapura memohon maaf berkaitan insiden ini dan malah meminta agar duta Singapura di Indonesia dihantar pulang. 

Penyokong Abdul Somad juga mengancam akan mengadakan demonstrasi lebih besar jika permintaan mereka tidak diendahkan. 

ABDUL SOMAD MASIH INGIN CUBA MASUK S'PURA

Abdul Somad pula bertegas tidak akan berputus ada untuk memasuki Singapura. 

Dalam satu wawancara YouTube, Abdul Somad berkata beliau mempunyai saudara-mara di sini. 

"Jika saya tidak dibenarkan masuk Singapura, ia sama seperti saya tidak dibenarkan masuk Minangkabau kerana Singapura adalah Tanah Melayu. Kami, orang Kepulauan Riau, menganggap Singapura sebagai sebahagian daripada tanah kami," kata pendakwah itu. 

Pun begitu, Indonesia menyatakan bahawa ia menghormati keputusan Singapura untuk melarang Abdul Somad daripada memasuki negara. 

"Berdasarkan bidang kuasa dan peraturan undang-undang, setiap negara boleh melarang seseorang daripada memasuki tanahnya atas pelbagai pertimbangan yang kadang kala tidak diketahui. Sebagai sebuah negara berdaulat, Indonesia juga mempunyai dasar-dasar imigresennya sendiri, yang mana kami boleh melarang sesiapa sahaja daripada memasuki Indonesia," kata jurucakap Kemeterian Ehwal Luar Indonesia, Encik Teuku Faizasyah. 

Badan Nasional Penanggulangan Terorisme Indonesia (BNPT) juga menyatakan bahawa keputusan Singapura suatu pengajaran penting bagi Indonesia dalam menangani fahaman-fahaman pelampau. 

Badan itu antara lain akur bahawa Singapura mempunyai peraturan yang melarang ceramah, pandangan dan tindakan yang boleh merangsang pengganasan. Justeru, BNPT berpandangan bahawa Indonesia perlu mula mengambil langkah-langkah yang melarang ideologi sedemikian. 

SOMAD PERNAH DILARANG MASUK KE NEGARA LAIN

Menurut agensi media Indonesia, Abdul Somad pernah dilarang masuk ke Hong Kong, Timor-Leste dan beberapa negara Eropah sebelum ini. 

Jadi saga terbaru ini menekankan tentang peri pentingnya isu ektremisme diteliti semula, kata Dr Norshahril. 

"Sepanjang beberapa dekad yang lalu, kita hanya fokus pada isu-isu pengganasan dan radikalisme yang tertumpu kepada perbuatan ganas. Tapi saya rasa kita perlu mempunyai pandangan lebih luas, memahami kesan jenis ektremisme yang tidak ganas," jelasnya. 

"Dan kita perlu faham apakah yang menyumbang kepada ektremisme sebegini, iaitu seperti membuat tanggapan stereotaip terhadap kumpulan agama lain." 

Bagi Singapura sendiri, Dr Norshahril menambah bahawa pemerintah dan masyarakat perlu terus berganding bahu untuk mencegah sebarang bentuk ektremisme yang akan menghalang kebebasan beragama. Ini demi menjaga ruang bersama yang wujud di Singapura. 

Sumber : CNA/AQ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan