Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa pengganti Ayman Al-Zawahiri?

Bekas pegawai tentera Mesir Saif al-Adel, amir Al-Qaeda di Maghreb, Yezid Mebarek dan menantu Zawahiri Abd al-Rahman al-Maghrebi disebut-sebut calon mengisi kekosongan jawatan pemimpin Al-Qaeda.

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa pengganti Ayman Al-Zawahiri?

Ayman al-Zawahiri. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 05 Aug 2022 09:54PM Dikemas Kini : 05 Aug 2022 11:42PM
DUBAI/BAGHDAD: Serangan dron Amerika Syarikat (AS)yang membunuh pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, merupakan satu tamparan hebat ke atas kumpulan militan yang diasaskan Osama bin Laden itu yang juga terbunuh pada 2011.

"Soalannya kini, siapa yang boleh mengisi kekosongan dalam kumpulan itu, terutamanya dalam dunia di mana kumpulan seperti Taliban lebih berkuasa, begitu juga dengan ISIS", kata H.A. Hellyer, seorang pengamat di Carnegie Endowment for International Peace, lapor Reuters.

Beberapa pengganti berpotensi dikatakan dapat menandingi rekod Zawahiri selama beberapa dekad sebagai seseorang yang memperjuangkan perang jihad. Dia menggunakan prestijnya sebagai militan veteran untuk membantu membina semula al Qaeda dalam menghadapi serangan AS berikutan serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat.

BEKAS PEGAWAI TENTERA KHAS MESIR

Calon utama pengganti Zawahiri menurut para pakar ialah bekas pegawai tentera Mesir, Saif al-Adel.

Dia dikatakan menduduki tangga ketiga senarai kepemimpinan Al-Qaeda dan juga antara ketua tentera yang berpengaruh lagi disegani dalam kalangan pengikutnya berbanding Zawahiri, yang lebih selesa memimpin dari sebalik tabir.

Adel dikatakan terbabit dengan Al- Qaeda sejak 1981, apabila dia bersama Zawahiri disyaki terbabit dalam pembunuhan Presiden Mesir, Anwar Sadat, selepas beliau menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Adel juga membantu merancang siri pengeboman kedutaan AS di Nairobi dan Dar es Salaam pada 1998 selain menubuhkan kem latihan bagi Al-Qaeda di Sudan, Pakistan dan Afghanistan sekitar 1990-an.

Serangan itu menyebabkan 224 orang maut dalam tiga letupan di Afrika Timur, termasuk 12 rakyat AS dan lebih 4,500 yang lain cedera.

Ganjaran sebanyak AS$10 juta (S$13.8 juta) juga ditawarkan ketika itu, kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Adel

Selain Adel, nama lain yang muncul ialah Yezid Mebarek, juga dikenali sebagai Abu Ubaydah Yusuf al-Anabi, yang mengambil alih sebagai amir Al-Qaeda di republik Islam Maghreb pada 2020, selepas tentera Perancis membunuh penyandang jawatan itu.

Menurut beberapa pakar, seorang lagi calon ialah anak kelahiran Maghribi, Abd al-Rahman al-Maghrebi, yang terlatih dalam bidang program sofwe komputer di Jerman sebelum berhijrah ke Afghanistan di mana dia dipilih menguruskan sayap media Al-Qaeda.

Dia juga adalah menantu Zawahiri dan sudah lama diburu oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS.

Bagaimanapun, nama teratas dalam senarai FBI dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS ialah Adel, yang dikatakan hampir pasti sebagai calon pengganti pemimpin Al-Qaeda seterusnya.
Sumber : Reuters/SU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa