Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa Mohammad Mokhber, Naib Presiden Iran?

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa Mohammad Mokhber, Naib Presiden Iran?

Naib Presiden, Mohammad Mokhber. (Gambar: Iranian Vice-Presidency / AFP)

Diterbitkan : 20 May 2024 02:06PM Dikemas Kini : 20 May 2024 02:08PM
TEHRAN: Menyusuli laporan bahawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi meninggal dunia selepas helikopter dinaikinya terhempas, tumpuan beralih kepada Naib Presiden, Mohammad Mokhber iaitu individu seterusnya dalam kepimpinan Presiden.

Menurut Perlembagaan Iran, dalam kes kematian atau ketidakupayaan Presiden, Naib Presiden pertama akan mengambil alih fungsi Presiden sehingga pilihan raya diadakan dalam tempoh tidak lebih 50 hari.

Tidak seperti negara lain, Naib Presiden Pertama Iran adalah jawatan yang dilantik, bukan dipilih.

Naib Presiden mengambil alih beberapa kuasa Perdana Menteri selepas jawatan itu dimansuhkan pada 1989.

Terdapat beberapa Naib Presiden yang dilantik untuk berkhidmat secara serentak di Iran - mereka kebanyakannya berfungsi sebagai anggota Kabinet.

Tetapi, jawatan yang dipegang oleh Encik Mokhber dianggap yang pertama dalam kalangan rakan setaraf.

Presiden Raisi melantik Encik Mokhber sebagai Naib Presiden pertamanya pada Ogos 2021, sejurus selepas memegang jawatan.

Beliau adalah orang ketujuh berkhidmat dalam jawatan itu sejak semakan perlembagaan.

Dilahirkan pada 1 September 1955, seperti Encik Raisi, Encik Mokhber juga dilihat rapat dengan Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei, yang mempunyai kata terakhir dalam semua urusan negara.

Beliau adalah sebahagian daripada pasukan pegawai Iran yang melawat Mosko pada Oktober dan bersetuju untuk membekalkan peluru berpandu dan lebih banyak dron kepada tentera Rusia, menurut sumber krpada Reuters ketika itu. Pasukantersebut juga termasuk dua pegawai kanan dari Pengawal Revolusi Iran dan seorang pegawai dari Majlis Keselamatan Negara Tertinggi.

Sebelum pelantikannya sebagai Naib Presiden, Encik Mokhber berkhidmat selama 14 tahun sebagai ketua Setad Iran, sebuah konglomerat ekonomi yang kuat, kebanyakannya tertumpu kepada tujuan amal.

Badan itu dikaitkan dan berada di bawah kawalan langsung pemimpin tertinggi Iran, dianggarkan bernilai puluhan bilion dolar.

Di bawah pengawasan Encik Mokhber, Setad membangunkan vaksin virus COVID-19, Coviran Barekat, ketika puncak pandemik tersebut.

Pada 2010, Kesatuan Eropah memasukkan Encik Mokhber dalam senarai individu dan entiti yang dikenakan sekatan atas dakwaan penglibatan dalam "aktiviti peluru berpandu nuklear atau balistik". Dua tahun kemudian, ia mengeluarkannya daripada senarai tersebut.

Pada 2013, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat. menambah Setad dan 37 syarikat yang diselianya dalam senarai entiti yang disekat.
Sumber : AGENCIES/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan