Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa Ayman al-Zawahiri: Dari pakar bedah Kaherah hingga menjadi pemimpin Al-Qaeda

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa Ayman al-Zawahiri: Dari pakar bedah Kaherah hingga menjadi pemimpin Al-Qaeda

(Gambar: SITE Intelligence Group/AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2022 04:50PM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 06:21PM

DUBAI: Ayman al-Zawahiri menggantikan Osama bin Laden sebagai pemimpin Al-Qaeda selepas bertahun-tahun menjadi penganjur dan ahli strategi utama kumpulan militan itu.

Namun kekurangan karisma dan persaingan daripada para anggota militan ISIS menghambat keupayaannya untuk mencetuskan serangan-serangan besar ke atas negara Barat.

Ayman, 71 tahun, terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS), dedah Presiden AS Joe Biden dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen pada Isnin malam (1 Ogos). Para pegawai AS berkata serangan itu dilancarkan di ibu kota Afganistan, Kabul pada Ahad (31 Jul).

Dia menyaksikan dengan kekecewaan sedang Al-Qaeda dipinggirkan oleh pemberontakan Arab pada 2011, yang sebahagian besarnya dilancarkan oleh para aktivis dan cendekiawan yang menentang pemerintah yang berkuasa selama berdekad-dekad lamanya.

Pada tahun-tahun selepas kematian Osama, serangan-serangan udara Amerika Syarikat (AS) membunuh beberapa timbalan Ayman, sekali gus melemahkan keupayaan anggota militan veteran Mesir itu untuk menyelaraskan usaha di peringkat global.

Namun zaman Al-Qaeda sebagai rangkaian di bawah satu arahan, yang menyerang AS pada 11 Sep 2001, sudah lama berlalu.

Sebaliknya, anggota militan itu kembali ke asalnya bagi konflik-konflik di peringkat tempatan, didorong oleh kekecewaan dan hasutan oleh rangkaian-rangkaian militan rentas negara yang menggunakan media sosial.

Asal usul Zawahiri dalam kumpulan militan bermula berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Kali pertama dunia mendengar tentangnya adalah apabila dia berdiri di kurungan bilik mahkamah selepas pembunuhan Presiden Mesir Anwar al-Sadat pada 1981.

"Kami sudah berkorban dan kami masih bersedia untuk melakukan lebih banyak pengorbanan sehingga Islam meraih kejayaan," laung Ayman pada ketika itu.

Ayman menjalani hukuman penjara selama tiga tahun kerana memiliki senjata api secara haram tetapi dibebaskan daripada tuduhan-tuduhan utama.

Seorang pakar bedah yang terlatih - dengan salah satu nama samarannya sebagai The Doctor - Ayman menuju ke Pakistan sebaik sahaja dibebaskan di mana dia bertugas dengan Bulan Sabit Merah untuk merawat para mujahid Islam yang cedera semasa bertempur dengan pasukan Soviet di Afghanistan.

Sepanjang tempoh itu, dia mula berkenalan dengan Osama, rakyat Saudi yang kaya, yang menyertai pemberontakan di Afghanistan.

Mengambil alih pucuk kepimpinan Jihad Islam di Mesir pada 1993, Ayman adalah tokoh utama dalam kempen bagi mengguling pemerintah itu pada pertengahan 1990-an untuk menubuhkan wilayah Islam. Lebih 1,200 warga Mesir terbunuh.

Pihak berkuasa Mesir melancarkan operasi ke atas Jihad Islam selepas percubaan membunuh Presiden Hosni Mubarak ketika itu pada Jun 1995 di Addis Ababa.

Ayman yang bersarban putih dan mula beruban bertindak balas dengan mengarahkan serangan pada 1995 ke atas Kedutaan Mesir di Islamabad. Dua kereta yang dipasang dengan bahan letupan merempuh masuk pagar-pagar kawasan itu, sekali gus menyebabkan 16 orang maut.

Pada 1999, mahkamah tentera Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas Ayman. Pada ketika itu, dia sudahpun menjalani kehidupan sebagai anggota militan selepas membantu Osama menubuhkan Al-Qaeda.

Rakaman video yang disiarkan Al Jazeera pada 2003 menunjukkan dua lelaki berjalan di tepi gunung yang berbatu - gambar yang diharapkan dapat memberikan petunjuk tentang keberadaan mereka.

ANCAMAN JIHAD GLOBAL

Selama bertahun-tahun, Ayman dipercayai bersembunyi di kawasan larangan di sempadan yang memisahkan Pakistan dan Afghanistan. Dia mengambil alih tampuk kepimpinan Al-Qaeda pada 2011 selepas pasukan tentera laut elit AS membunuh Osama di tempat persembunyiannya di Pakistan. Sejak itu, dia berulang kali menggesa jihad global, dengan senapang AK-47 sentiasa di sisisnya semasa menyampaikan mesej-mesej videonya.

Bagi memperingati Osama, Ayman berjanji untuk meneruskan serangan ke atas negara Barat, sambil mengimbau kembali ancaman yang dibuat anggota militan kelahiran Saudi itu bahawa "anda tidak akan dapat bermimpi tentang keselamatan sehingga kita melaluinya sebagai satu realiti dan sehingga anda meninggalkan bumi umat Islam".

Lantaran itu, lebih banyak kumpulan tegar dari 2014 hingga 2019 di Iraq dan Syria semakin menarik perhatian pihak berkuasa antipengganasan Barat.

Ayman kerap cuba membangkitkan semangat dalam kalangan umat Islam dengan meninggalkan komen online tentang isu sensitif seperti dasar-dasar AS di Timur Tengah atau tindakan warga Israel terhadap rakyat Palestin, tetapi penyampaiannya dilihat kurang memancing minat berbanding pengaruh Osama.

Di peringkat praktikal pula, Ayman dipercayai terlibat dalam beberapa operasi terbesar Al-Qaeda, dengan membantu mengaturkan serangan-serangan pada 2001 apabila beberapa pesawat yang dirampas Al-Qaeda digunakan untuk membunuh 3,000 orang di AS.

Dia didakwa atas peranannya dalam pengeboman Kedutaan AS di Kenya dan Tanzania pada 1998. FBI menawarkan upah AS$25 juta sekiranya Ayman dalam senarai paling dikehendakinya itu dapat diburu.

KELUARGA TERKENAL

Ayman tidak dibesarkan di kawasan miskin Kaherah. Dilahirkan pada 1951, Ayman adalah cucu kepada imam besar Al-Azhar, salah satu masjid terpenting dalam Islam.

Ayman dibesarkan di kawasan luar bandar Maadi di Kaherah, tempat yang digemari para ekspatriat dari negara Barat. Juga anak seorang profesor farmakologi, Ayman pertama kali mendakapi fundamentalisme Islam pada usia 15 tahun.

Dia mendapat inspirasi daripada idea-idea pemberontak Mesir Sayyid Qutb, seorang penulis yang dibunuh pada 1966 atas dakwaan cuba menggulingkan pemerintah.

Mereka yang menuntut bersama Ayman di Fakulti Perubatan Universiti Kaherah pada 1970-an menyifatkannya sebagai lelaki muda bertenaga yang pergi ke pawagam, mendengar muzik dan bergurau senda dengan rakan-rakannya.

"Apabila dia keluar dari penjara, dia menjadi orang yang sangat berbeza," kata seorang doktor yang menuntut bersama Ayman dan enggan identitinya didedahkan.

Dalam kurungan bilik mahkamah selepas pembunuhan Presiden Sadat di perbarisan tentera, Ayman berkata kepada media antarabangsa bahawa para anggota militan terpaksa berdepan dengan penyeksaan, termasuk sebatan dan serangan oleh anjing liar di dalam penjara.

"Mereka menangkap isteri, ibu, ayah, saudara perempuan dan anak-anak lelaki dalam percubaan untuk meningkatkan tekanan psikologi ke atas banduan yang tidak berdosa ini," kata beliau.

Para banduan berkata keadaan itu menjadikan Ayman lebih radikal dan menggerakannya ke arah haluan jihad global.

Sumber : Reuters/IM/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa