Skip to main content

Dunia

Siapa Alice Huang, eksekutif China dituduh intip CEO Nvidia Jensen Huang?

Seorang eksekutif teknologi warga China, Alice Huang, menjadi tumpuan selepas dituduh mengintip bagi pihak China semasa menjalinkan hubungan sulit dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, menurut laporan media.

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa Alice Huang, eksekutif China dituduh intip CEO Nvidia Jensen Huang?

Eksekutif China Alice Huang (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang (kiri) pada majlis makan malam di Taipei pada 22 Mei 2025, sempena pameran teknologi Computex. (Gambar: AFPTV/CTI menerusi AFP)

Diterbitkan : 09 Nov 2026 04:52PM
Who is Alice Huang, the Chinese executive accused of spying on Nvidia CEO Jensen Huang?
  • Chinese technology executive Alice Huang, also known as Huang Le, was allegedly recruited by Beijing to gather intelligence on Nvidia chief executive Jensen Huang as US-China competition in AI intensified.
  • They reportedly attended industry events and a dinner in Taipei in May 2025, while reports said US authorities had concluded that Jensen was targeted for espionage that year.
  • Megaspeed International, Alice’s former employer and Nvidia’s cloud business partner in Asia-Pacific, has been under investigation by the US since 2024 over the possibility that it channelled chips to China in breach of export restrictions.
  • Singapore said Alice was not under investigation in the country, but police were still investigating Megaspeed. The company denied allegations of illegal transfers, while Nvidia launched an independent investigation and said it had seen no evidence that secrets or national security had been compromised.
Dijana oleh AI

TAIPEI: Seorang eksekutif teknologi warga China, Alice Huang, menjadi tumpuan selepas dituduh mengintip bagi pihak China semasa menjalinkan hubungan sulit dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, menurut laporan media.

Alice Huang, yang juga dikenali sebagai Huang Le, dilaporkan pernah memegang jawatan kanan di Megaspeed International, sebuah syarikat pusat data yang berpangkalan di Singapura.

Menurut akhbar New York Times, wanita itu direkrut oleh Beijing untuk mengumpul maklumat risikan mengenai ketua syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat itu.

Bagaimanapun, maklumat mengenai latar belakang Alice Huang masih terhad.

Menurut laporan itu, beliau fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai hubungan luas dengan tokoh kanan dalam industri cip AI global.

Alice Huang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Jensen Huang, 63 tahun, meskipun kedua-duanya berkongsi nama keluarga yang sama.

Satu profil dalam pangkalan data dana China menyenaraikan pengalaman kerja Alice Huang di bank HSBC serta sebagai wartawan bagi saluran media China, CCTV dan Hunan TV.

Namun, agensi berita AFP belum dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

HUBUNGAN DENGAN JENSEN HUANG

Laporan media minggu lalu mendakwa Alice Huang mempunyai hubungan rapat dengan Jensen Huang.

Pada Ahad (8 Nov), Jensen Huang memohon maaf kepada kakitangan Nvidia selepas mengaku berlaku curang terhadap isterinya.

Kedua-duanya dilaporkan menghadiri beberapa acara industri, termasuk satu majlis pada 2024 dan makan malam di Taipei sempena pameran teknologi Computex pada Mei 2025.

Rakaman media menunjukkan Jensen Huang dan Alice Huang berinteraksi secara mesra pada majlis makan malam tersebut sebelum meninggalkan restoran menaiki kereta yang sama.

Menurut akhbar New York Times dan Wall Street Journal, para pegawai Amerika Syarikat membuat kesimpulan pada 2025 bahawa Alice Huang menyasarkan Jensen Huang bagi tujuan pengintipan.

Dakwaan tersebut timbul ketika Amerika Syarikat dan China bersaing membangunkan teknologi AI canggih yang turut berpotensi digunakan bagi tujuan ketenteraan.

MEGASPEED JADI TUMPUAN SIASATAN

Alice Huang dilaporkan pernah menjadi eksekutif kanan Megaspeed International, sebuah syarikat yang menyewakan kuasa pengkomputeran kepada firma lain untuk melatih dan mengendalikan sistem AI.

Menurut laman Megaspeed, syarikat itu merupakan rakan niaga utama perkhidmatan pengkomputeran awan Nvidia di rantau Asia Pasifik.

Megaspeed turut menyenaraikan pejabat di Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Rekod pemerintah Singapura menunjukkan syarikat tersebut sebelum ini dikenali sebagai 7Road International, yang membayangkan kemungkinan kaitan dengan syarikat permainan video China, 7Road.

New York Times melaporkan bahawa pihak berkuasa Amerika telah menyiasat Megaspeed sejak 2024 berhubung kemungkinan syarikat itu menyalurkan cip Nvidia ke China, sekali gus memintas sekatan eksport Amerika.

Bagaimanapun, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura menjelaskan pada 31 Oktober bahawa pihak berkuasa negara ini tidak menjalankan siasatan terhadap Alice Huang berhubung dakwaan hubungannya dengan perisikan China atau Jensen Huang.

Polis Singapura mengesahkan bahawa siasatan terhadap Megaspeed masih dijalankan, tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

Pada Disember 2025, Megaspeed menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan pemindahan cip secara haram ke China.

Syarikat itu menyatakan laporan Bloomberg mengandungi maklumat mengelirukan serta andaian tidak tepat mengenai kemungkinan penglibatannya dalam kegiatan tersebut.

Jensen Huang sebelum ini turut mempertahankan urusan perniagaan Nvidia dengan Megaspeed sebagai hubungan perniagaan biasa.

Sementara itu, Nvidia mengumumkan pada Ahad (8 Nov) bahawa lembaga pengarahnya telah memulakan siasatan bebas bagi menentukan sama ada Jensen Huang menjadi sasaran kegiatan perisikan asing.

Syarikat itu menyatakan setakat ini tiada sebab untuk mempercayai bahawa rahsia Nvidia atau keselamatan negara Amerika Syarikat telah terjejas.

Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita