Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa Al-Quraisy dan bagaimana ketua ISIS ini boleh terus berleluasa sejak 2010?

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa Al-Quraisy dan bagaimana ketua ISIS ini boleh terus berleluasa sejak 2010?

Tentera AS mengawal di kawasan Hassakeh, timur laut Syria pada 27 Jan 2022 (Gambar: AP Images)

WASHINGTON: Ketua ISIS maut dalam serbuan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi Khamis (3 Feb), di barat laut Syria ketika kumpulan pelampau itu sedang bangkit semula.

Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi membunuh diri dengan menggunakan bahan letupan ketika askar-askar pasukan khas AS menyerbu lokasi persembunyiannya di Syria pada waktu malam.
Keluarganya turut terkorban selepas dia meledakkan bahan letupan pada awal ofensif tersebut, menurut pegawai kanan Pentagon.

SIAPA AL-QURAYSHI?

Qurayshi digelar sebagai "pemusnah" dan mendalangi pembunuhan beramai-ramai kaum Yazidi, sebelum mengambil alih kepimpinan ISIS daripada pendahulunya Abu Bakr al-Baghdadi.

Apabila Qurayshi mengambil alih kumpulan itu, kawasan luas yang ditakluki kumpulan tersebut semakin mengecil dan pengaruh kumpulan pelampau itu juga semakin pudar.

BACA: Ketua ISIS terbunuh dalam serangan tentera AS, kata Presiden Biden

Para pemerhati menyifatkan Qurayshi sebagai 'Khalifah tanpa Khilafah'. Namun Qurayshi bertekad untuk menghidupkan semula kumpulan itu, lapor CNN.

Dalam bulan-bulan sebelum ini, dia menerajui kebangkitan ISIS di beberapa kawasan Syria, Iraq dan Lubnan. Iraq turut melaporkan lebih banyak keganasan yang dikaitkan dengan ISIS.

Di bahagian timur laut Syria yang dikuasai kaum Kurdi, kumpulan itu melancarkan percubaan selama berhari-hari untuk memecah masuk penjara bagi membebaskan anggota ISIS.

Ratusan banduan termasuk kanak-kanak terbunuh. Tentera Kurdi juga turut terkorban dalam pertempuran tersebut.

Di Lubnan, beberapa laporan serantau dan tempatan menunjukkan bahawa kumpulan itu sudah membawa masuk puluhan anggota dari bandar utara Tripoli, iaitu salah satu kawasan yang paling teruk dilanda krisis ekonomi di negara itu, menurut laporan CNN.

Sepanjang semua kejadian itu, Qurayshi yang turut dikenali melalui beberapa nama samaran, tidak kelihatan sosoknya, menjadikannya begitu sukar untuk dikesan.

Pada 2014, dia "mendalangi penculikan, penmbunuhan dan pemerdagangan kaum minoriti Yazidi di barat laut Iraq," menurut laporan Rewards for Justice.

Sebahgian besar masyarakat Yazidi tinggal di kawasan berhampiran dengan bandar asal Quraisy di Tal Afar di utara Iraq.

Pada 2014, selepas ISIS menakluki Tal Afar dan Mosul, kumpulan itu menjadikan wanita dan kanak-kanak Yazidi sebagai hamba dan membunuh ribuan lelaki kaum Yazidi.

Suruhanjaya Keadilan dan Kebertanggungjawaban Antarabangsa (Commission for International Justice and Accountability), iaitu sebuah badan bukan pemerintah (NGO) yang menyiasat dan mengumpulkan bukti jenayah utama antarabangsa seperti keganasan menyatakan Qurayshi adalah "salah seorang dalang utama dalam penghambaan dan pemerdagangan wanita dan kanak-kanak Yazidi."

Ia turut menyatakan: " Qurayshi sendiri malah menghambakan dan merogol wanita-wanita dalam tahanan itu," kata Nerma Jelacic, timbalan pengarah suruhanjaya tersebut.

Pakar antipengganasan, Daniele Raineri turut menarik perhatian bahawa Qurayshi "berhasil meloloskan diri daripada pengawasan pasukan keselamatan dan bersembunyi selama bertahun-tahun sejak tahun 2010."

"Tetapi apabila anggota-anggota kanan ISIS ditangkap atau mati dalam pertempuran, dia menjadi orang kuat dalam kumpulan itu."

Dalam wawancara pada tahun 2018 bersama al Arabiya milik Arab Saudi, seorang anggota kanan ISIS yang ditahan di Iraq, Ismael al Eithawi menyifatkan Qurayshi sebagai "tokoh paling menyerlah dalam kalangan pengikut Baghdadi."

Pada 2018, dokumen dalaman ISIS menggambarkan Qurayshi sebagai "orang kuat" Baghdadi.

Dia maut dalam operasi yang serupa dengan operasi yang dilancarkan untuk membunuh Baghdadi.

Namun, masih belum jelas sama ada operasi itu akan menghambat kebangkitan kumpulan tersebut.
ISIS bagaimanapun belum lagi mengesahkan kematiannya dan masih belum jelas siapakah yang akan mengambil tempat Qurayshi. Tidak ramai anggota kanan ISIS yang dipercayai masih hidup atau berleluasa.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan