Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa akan menang - Trump atau Biden? Pakar ramal pemenangnya akan 'menang tipis' saja

Kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan calon Pilihan Raya Presiden Amerika 2020, Joe Biden, sedang mendahului Presiden Donald Trump.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan calon Pilihan Raya Presiden Amerika 2020, Joe Biden, sedang mendahului Presiden Donald Trump.

Tinjauan RMG Research pada Isnin (26 Okt) misalnya mendapati, Encik Biden mendapat 51 peratus sokongan pengundi sementara Presiden Trump mendapat 44 peratus sokongan pengundi. Ini bermakna, Presiden Trump jauh ketinggalan di belakang Encik Biden - iaitu dengan perbezaan sehingga tujuh peratusan mata.

Tinjauan IBD-TIPP sebagaimana dilaporkan The New York Times juga menunjukkan angka hampir serupa. Bagi tinjauan antara 22-26 Oktober yang dikeluarkan hari ini, Biden kini di hadapan dengan 51 peratus dan Trump 46 peratus.

Agensi seperti CNN dan BBC juga melaporkan bahawa Biden sedang mendahului dengan 52 mata manakala Trump jauh tertinggal sebanyak 10 mata apabila tinjauan menunjukkan Presiden Amerika itu hanya mendapat 42 peratus sokongan sekarang ini.

Sungguhpun begitu, dua pakar politik memberitahu BERITAmediacorp bahawa sebenarnya sukar untuk meramalkan siapa yang akhirnya akan menang, walaupun kempen pilihan raya kini memasuki hari-hari terakhir.

Prof Madya Dr Lim Tai Wei. 

"Kami tidak tahu. Ada beberapa petunjuk yang menunjukkan terdapat banyak faktor berlainan berbanding Pilihan Raya Presiden 2016. Petunjuk pertama adalah, jumlah rakyat yang keluar mengundi sangat tinggi. Kita tidak tahu bagaimana ini akan merubah keadaannya nanti," terang Prof Madya Dr Lim Tai Wei, seorang Pakar Berbilang Disiplin yang mengajar di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) dan Institut Asia Timur NUS.

Kedua, tambah Dr Lim, pilihan raya presiden Amerika kali ini berlangsung di tengah-tengah pandemik dan "tiada siapa dapat meramalkan sama ada ia akan menghalang atau mendorong orang ramai untuk keluar mengundi", walaupun hanya perlu mengundi menerusi pos.

Ada yang menyatakan bahawa undi menerusi pos yang banyak akan menyebelahi Demokrat, tetapi pengundian secara fizikal pula berpihak kepada Republican, tambah beliau.

"Saya fikir sangat sukar untuk meramalkan buat masa ini (siapa akan menang)," rumus Dr Lim.

Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat pula menarik perhatian bahawa isu-isu yang diketengahkan dalam gelanggang perdebatan juga tidak seperti tahun-tahun sudah.

"Banyak sekali isu yang dibangkitkan bersangkutan dengan pandemik COVID-19. Tentang bagaimana Presiden Trump menangani isu tersebut. Menariknya kempen tertumpu kepada pencapaian ataupun prestasi Encik Donald Trump sendiri, (seperti dalam) menangani COVID-19," kata Dr Norshahril.

Isu-isu lain seperti kos sara hidup, pendidikan dan dasar luar - walaupun dibincangkan - tidak begitu menarik perhatian, katanya lagi.

"Kalau kita lihat (pula) prestasi Presiden Trump, ada perbezaan pandangan dalam kalangan rakyat."

Kedua-dua Dr Norshahril dan Dr Lim turut menegaskan, tinjauan-tinjauan pendapat tidak semestinya ukuran tepat, sebagaimana yang berlaku pada 2016. Ketika itu calon Presiden Demokrat, Hillary Clinton, disebut-sebut akan menang kerana mendahului Trump dalam banyak tinjauan pendapat yang dijalankan. Namun beliau tewas meski menang dengan kelebihan sekitar tiga juta undi popular.

Presiden Trump (kiri) dan Encik Joe Biden. (Gambar fail: Gene J Puskar/AP, Tom Brenner/Reuters)

(Gambar fail: Gene J Puskar/AP, Tom Brenner/Reuters)

"Kita hidup dalam zaman yang amat sukar untuk kita membuat satu ramalan," kata Dr Norshahril ketika ditanya sama ada Trump atau Biden yang mungkin menang.

PEMENANG KEMUNGKINAN HANYA "MENANG TIPIS"

Menurut Dr Lim, "hanya segelintir" penganalisis dan pakar-pakar kini menjangkakan Presiden Trump akan menang besar.

"Berdasarkan banyak kajian, kemungkinannya adalah salah satu (daripada mereka) akan menang tipis walaupun ia bukan sesuatu yang pasti kerana ada banyak perkara baru dalam pilihan raya presiden kali ini. Disebabkan kemenangan tipis dijangkakan juga, undi rakyat yang kurang pasti siapa yang mereka sokong, sangat penting," ujar Dr Lim.

Dr Norshahril pula menerangkan, ada banyak sekali dinamika yang perlu difahami. Proses polarisasi misalnya sangat besar dan sedang dilalui Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, Presiden Trump terdahulu mungkin sudah mendapat sokongan khususnya dari para peniaga tempatan.

Presiden Trump membuka pelitup untuk beri ucapan di balkoni Rumah Putih pada 10 Okt 2020 (Gambar: Reuters/Tom Brenner)

(Gambar fail: Tom Brenner/Reuters)

"(Cara beliau) menangani isu perang dagang mungkin meyakinkan beberapa pelobi. Kita juga tahu beliau mendapat sokongan daripada pihak yang menyokong pelan damai Palestin misalnya," kata Dr Norshahril lagi.

Pada sisi lain, Encik Biden dilihat sebagai ahli politik dengan pandangan-pandangan sederhana yang menonjolkan dirinya sebagai orang terbaik untuk meleraikan pelbagai isu yang membelenggu Amerika.

Calon presiden Demokrat, Joe Biden, semasa berkempen di Pennsylvania pada 24 Okt 2020. (Gambar: Kevin Lamarque/Reuters)

(Gambar fail: Kevin Lamarque/Reuters)

"Dasar-dasar beliau akan disokong golongan liberal. Dan Parti Demokrat lazimnya mendapat sokongan kuat dari persatuan-persatuan perdagangan. Ini bermakna ia akan membentuk salah satu daripada dasar kukuh politik beliau. Dan beliau juga menjanjikan perubahan dalam sistem penguatkuasaan undang-undang bagi golongan kulit hitam," kupas Dr Lim lagi.

MASALAH YANG BOLEH TIMBUL JIKA ADA MENANG TIPIS

Semestinya dunia sedang memerhatikan pilihan raya Amerika Syarikat dengan lebih dekat dan penuh debaran. Ini kerana hasilnya - siapa pemenangnya - nanti mampu merubah ekonomi dan geopolitik dunia. Trump dan Biden kedua-duanya mempunyai falsafah dasar luar dan ekonomi yang berbeza.

Ditanya apakah antara kebimbangan besar beliau daripada keputusan pilihan raya itu nanti, Dr Lim berkata sekiranya salah seorang calon benar-benar menang tipis, keputusan itu akan membawa bersamanya rentetan masalah-masalah lain.

"Ada beberapa dakwaan penipuan, terutama sekali dari pasukan Trump. Maka itu, kita harus lihat kemungkinan ada kes yang dipertarungkan di Mahkamah Tinggi. Pasukan Biden juga sudah mengumpulkan jumlah pakar guaman yang besar," kata Dr Lim.

Ada kesannya terhadap dunia, tambah beliau.

Presiden Donald Trump dan calon Demokrat Joe Biden, dalam debat terakhir yang berlangsung pada 22 Okt. (Gambar: Jim Bourg/Pool menerusi AP)

(Gambar fail: Jim Bourg/Pool menerusi AP)

"Bagi kebanyakan negara di dunia, mereka prihatin jika ada ketidakpastian sekiranya (ini berlaku) kerana ia akan berlarutan dan menjadi tempoh penuh ketidakpastian apabila dua pasukan guaman itu bertelingkah. Tetapi jika keputusannya jelas (salah seorang menang besar), negara-negara lain kemudian dapat melakar strategi-strategi diplomatik mereka (dengan Amerika)," hujah Dr Lim.

Dr Norshahril pula berpendapat, keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika akan menjadi penentu sama ada perang dagang antara Amerika dengan China dapat dileraikan. Seandainya Trump mempertahankan kedudukan beliau, besar kemungkinan dunia akan terus berdepan dilema besar.

(Gambar: Reuters)

(Gambar fail: Reuters)

"Isu yang jadi keprihatinan kita di Singapura dan juga di rantau Asia ini adalah sama ada beliau (Trump) akan mengubah dasar beliau terhadap China. Kita tahu bahawa perang dagangan sudah menghambat ekonomi sedunia. Sesetengah negara-negara kecil harus membuat pilihan sama ada untuk menjadi penyokong Amerika Syarikat dan juga China," jelas Dr Norshahril.

Hakikatnya, pilihan raya ini memang dianggap ramai rakyat Amerika dan para pemerhati sebagai antara pilihan raya yang paling penting dalam sejarah Amerika.

Maka itu tidak hairanlah, setakat Selasa (27 Okt), lebih 60 juta rakyat Amerika sudah mengundi awal untuk memastikan suara mereka dikira - suatu paras rekod tertinggi dalam tempoh seabad.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan