Skip to main content

Dunia

Sheikh Hasina menang pilihan raya Bangladesh

Sheikh Hasina menang dalam pilihan raya buat kali keempat secara keseluruhannya dan mendapat mandat baru sebagai Perdana Menteri Bangladesh buat tiga penggal berturut-turut menyusuli kemenangan besar perikatan yang diterajui partinya dalam pilihan raya umum Ahad (30 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Dec 2018 06:40PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 11:28PM

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mengukuhkan penguasaannya dalam arena politik negara sejak sedekad lalu.

Beliau menang dalam pilihan raya buat kali keempat secara keseluruhannya dan mendapat mandat baru sebagai Perdana Menteri buat tiga penggal berturut-turut menyusuli kemenangan besar perikatan yang diterajui partinya dalam pilihan raya umum Ahad (30 Dis).

Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh mengesahkan perikatan yang diterajui Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina menang 288 daripada 300 kerusi parlimen.

Pembangkang utama, Parti Nasionalis hanya menang enam kerusi dan ia menolak keputusan pilihan raya semalam.

Ia mendakwa bahawa banyak penipuan berlaku dan mendesak agar pengundian baru diadakan secepat mungkin di bawah sebuah pentadbiran yang tidak berat sebelah.

"Kita sudah lihat pilihan raya yang tidak bersih pada masa-masa lalu tetapi tidaklah seburuk manipulasi seperti yang berlaku semalam. Orang-orang tidak dibenarkan pergi...ejen-ejen yang mewakili calon-calon dilarang ke pusat-pusat mengundi," dakwa ketua perikatan pembangkang Bangladesh, Kamal Hossain.

"Mereka yang mahu mengundi juga dilarang pergi mengundi. Kertas-kertas undi yang berpihak kepada calon-calon pemerintah kemudian dimasukkan ke dalam kotak-kotak undi."
Suruhanjaya Pilihan Raya sudah menyiasat dakwaan-dakwaan itu tetapi belum diketahui sama ada hasilnya akan menjejas keputusan pilihan raya.

Sepanjang memerintah Bangladesh selama 10 tahun, PM Hasina disanjung kerana meningkatkan ekonomi dan menggalakkan pembangunan di negaranya.

Namun pemerintahnya juga dituduh melakukan banyak pencabulan hak asasi manusia dan menindas media serta para penentangnya.

Sumber : Reuters/MU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita