Skip to main content

Dunia

Sheikh Hasina angkat sumpah PM Bangladesh buat penggal keempat berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:
Sheikh Hasina angkat sumpah PM Bangladesh buat penggal keempat berturut-turut

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina berucap sedang beliau mengangkat sumpah buat penggal keempat berturut-turut di Istana Presiden di Dhaka pada 11 Jan 2024. (Gambar: Munir UZ ZAMAN / AFP)

Diterbitkan : 12 Jan 2024 09:43AM Dikemas Kini : 12 Jan 2024 09:46AM
DHAKA: Sheikh Hasina mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada Khamis (11 Jan) untuk penggal keempat berturut-turut selepas partinya, Liga Awami memenangi pilihan raya umum yang diboikot oleh pembangkang utama yang menolak undian itu sebagai palsu.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, pilihan raya berkenaan tidak bebas dan adil, sementara Jabatan Hubungan Luar Pemerintah Britain pula mengutuk apa yang dipanggil "tindakan ugutan dan keganasan".

Sheikh Hasina, 76 tahun, merupakan anak kepada Sheikh Mujibur Rahman iaitu bapa pengasas negara Asia Selatan itu yang terbunuh dalam rampasan kuasa tentera pada 1975 bersama kebanyakan ahli keluarga.

Sheikh Hasina mula menjadi Perdana Menteri pada 1996 dan ini merupakan penggal kelima beliau secara keseluruhan.

Presiden Mohammed Shahabuddin melafazkan sumpah jawatan pada majlis di Istana Presiden yang dihadiri pemimpin politik, pegawai tinggi awam dan tentera, diplomat dan orang kenamaan lain.

“Saya, Sheikh Hasina, bersumpah... bahawa saya akan melaksanakan tugas saya dengan setia sebagai Perdana Menteri pemerintah mengikut undang-undang,” kata Cik Hasina.

Kabinet Sheikh Hasina seramai 36 orang turut mengangkat sumpah jawatan dalam majlis yang disiarkan secara langsung di televisyen.

BNP, yang telah memboikot dua daripada tiga pilihan raya lepas, berkata parti Sheikh Hasina cuba menghalalkan undi palsu.

Sheikh Hasina berkata, beliau tidak perlu membuktikan kredibiliti pilihan raya itu kepada sesiapa.

"Apa yang penting ialah jika rakyat Bangladesh akan menerima pilihan raya ini."
Sheikh Hasina telah dipuji kerana mengubah ekonomi, walaupun pengkritik juga menuduhnya melanggar hak asasi manusia dan menyekat perbezaan pendapat.

Ekonomi juga semakin perlahan sejak meletus perang Rusia-Ukraine menyebabkan kenaikan harga bahan api dan import makanan sekali gus memaksa Bangladesh mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk menyelamatkan AS$4.7 bilion (S$1.3 bilion) tahun lalu.

Inflasi negara itu berada pada kadar 9.5 peratus pada bulan November.
Kos sara hidup yang meningkat secara mendadak mencetuskan bantahan ganas menjelang pilihan raya, ketika pemerintah Sheikh Hasina bergelut untuk membayar import tenaga disebabkan oleh rizab dolar yang mengecut dan mata wang tempatan yang semakin lemah.

Walaupun penganalisis berkata, pembaharuan ekonomi amat diperlukan, mereka juga menekankan bahawa sebelum pemerintah Sheikh Hasina dapat mentadbir, parti pemerintah dan pembangkang perlu mencapai beberapa bentuk persefahaman untuk menamatkan pergolakan politik.

Kedua-dua Sheikh Hasina dan seterunya menuduh lawan mereka cuba mencipta huru-hara dan keganasan untuk menggagalkan keamanan politik dan menjejaskan demokrasi yang masih belum bertapak kukuh di negara berpenduduk 170 juta orang itu.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita