Shanghai rancang tingkatkan ujian besar-besaran COVID-19 di tengah sekatan baru merata China
Beberapa bandar di China akan melaksanakan sekatan baru COVID-19, termasuk perintah berkurung untuk mengekang penularan jangkitan baru.

(Gambar: Hector Retamal/AFP)
BEIJING: Beberapa bandar di China akan melaksanakan sekatan baru COVID-19, termasuk perintah berkurung untuk mengekang penularan jangkitan baru.
Hab komersil China, Shanghai bersiap sedia bagi satu lagi kempen ujian besar-besaran lain selepas mengesan subvarian Omicron BA.5.
Pemerintah pusat menyatakan langkah-langkah sekatan harus disasarkan sebaik mungkin untuk mengurangkan kesan kepada ekonomi kedua terbesar dunia itu, selepas gangguan besar tahun ini menjejaskan rantaian bekalan global dan perdagangan antarabangsa.
Penemuan satu jangkitan BA.5 yang lebih mudah berjangkit di Shanghai mendorong usaha dipertingkat untuk menyekat dengan cepat penularan yang baru muncul bagi mengelakkan lebih banyak sekatan seperti perintah berkurung yang dilaksanakan pada April dan Mei, sekali gus menjejaskan ekonomi dan pasaran global.
Mata wang yuan China susut berbanding dolar, dengan saham juga lemah.
Shanghai, bandar dengan paling ramai penduduk di China sebanyak 25 juta orang, memberitahu penduduk di beberapa daerah supaya menjalani ujian dua kali dalam satu lagi pusingan saringan besar-besaran dari Selasa hingga Khamis, sama seperti minggu lalu.
Penduduknya sudah pun menjalani ujian setiap beberapa hari untuk mendapatkan akses ke pelbagai lokasi dan pengangkutan awam.
Pihak berkuasa dan beberapa pelabur, berharap ujian sedemikian akan dapat mengesan jangkitan dengan lebih awal untuk memastikannya terkawal.
Jumlah jangkitan tempatan di Shanghai meningkat kepada beberapa puluh setiap hari sejak 5 Julai, meningkat daripada satu digit awal bulan ini, tetapi masih kecil berbanding piawaian global.
Kebanyakan kes baru adalah dalam kalangan mereka yang sudah dikuarantin.
Tanah Besar China melaporkan 352 jangkitan baru COVID pada 10 Julai, 46 daripadanya bergejala dan 306 tanpa gejala, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Isnin (11 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.