Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SG mula import telur dari Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Isnin (3 Apr) menyatakan bahawa ia sudah meluluskan Indonesia sebagai pengeksport telur yang terbaru ke Singapura bagi memenuhi permintaan negara.

"Kami terus mempelbagaikan sumber telur kami dan sudah meluluskan Indonesia sebagai sebuah negara sumber baru bagi mengeksport telur ayam ke Singapura," nyatanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dengan Indonesia disertakan ke dalam senarai pengeksport, jumlah negara dan wilayah yang diluluskan untuk mengeksport telur ayam ke Singapura kini meningkat kepada 18 berbanding 12 pada tahun 2019, menurut agensi tersebut.

Pada Disember lalu, Singapura meluluskan pengimportan telur ayam dari Brunei.

SFA bagaimanapun menambah bahawa Singapura masih boleh menjangkakan naik turun bekalan telur dari semasa ke semasa, "disebabkan beberapa faktor seperti wabak dan gangguan pada bekalan".

"Misalnya, beberapa negara baru-baru ini terkesan disebabkan penularan selesema burung yang menjejas pengeluaran ternakan ayam dan telur," terang SFA.

SFA juga menggalak industri makanan supaya mempelbagaikan dan mengimport daripada sumber-sumber lain sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan mereka agar dapat menyumbang kepada daya bingkas makanan Singapura.

"Sebagai pengguna, kami juga boleh memainkan peranan kami dengan bersikap fleksibel dalam pilihan makanan seandainya berlaku gangguan," nyatanya.

"Bersikap terbuka dan mudah menyesuaikan diri dengan sumber makanan baru seperti bekalan telur dari Indonesia juga satu langkah terhadap membina daya bingkas makanan Singapura, memastikan kami akan selalu mempunyai bekalan yang mencukupi."

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menarik perhatian dalam satu hantaran Facebook bahawa sedang Singapura terus mengukuhkan jaminan bekalan makanannya, "kami juga maklum bahawa tiada mana-mana negara yang terselamat daripada ketidaktentuan bekalan makanan sejagat".

"Saya mengalak warga Singapura supaya berjaga-jaga terhadap sebarang gangguan berpotensi dan bersikap fleksibel dalam pilihan makanan serta bahan dan berupaya menyesuaikan diri dengan sumber makanan baru," ujarnya.

Setakat ini, telur import membentuk sekitar 70 peratus daripada bekalan telur di Singapura.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan