SG bantah 'gambaran palsu' negara dalam video New York Times tampilkan Li Shengwu
Pemerintah Singapura menuduh The New York Times (NYT) cuba memajukan agenda sendiri dalam video yang menampilkan Encik Li Shengwu, iaitu anak saudara kepada mantan perdana menteri Lee Hsien Loong.

Petikan dari video New York Times.
Dalam surat kepada penyunting NYT yang bertarikh 26 Januari, Duta Singapura ke Amerika Syarikat Encik Lui Tuck Yew, menyifatkan video pendapat itu yang bertajuk "How Tyranny Begins", sebagai ulasan mengenai keadaan politik di Amerika Syarikat.
"Namun anda memetik Singapura menerusi analogi mengelirukan yang diberikan oleh Encik Li Shengwu, yang mendakwa dirinya sebagai individu yang dianiaya," kata Encik Lui.
"Encik Li tidak pernah diusir dari Singapura, dihukum penjara atau dilucutkan segala harta miliknya, tidak seperti individu lain yang ditampilkan dalam video anda. Dia tetap seorang rakyat Singapura dan bebas ke mana-mana menggunakan pasport Singapura."
Beliau menambah: "Kami tidak berhak mengulas tentang keadaan politik di Amerika. Tetapi kita harus membantah apabila anda menggunakan gambaran palsu mengenai Singapura untuk memajukan agenda anda sendiri."
Video terbitan NYT pada 22 Januari lalu itu menampilkan empat individu yang menyifatkan diri mereka sebagai mangsa penindasan di negara masing-masing.
Tiga individu berkongsi tentang pengalaman mereka ditadbir di bawah rejim Perdana Menteri Vladimir Putin di Rusia, pemerintah Hungary yang diterajui oleh Perdana Menteri Viktor Orban dan kepimpinan Nicaragua di bawah Presiden Daniel Ortega.
Dalam video tersebut, Encik Li, seorang profesor ekonomi di Universiti Harvard, menuduh bapa saudaranya "mempunyai kecenderungan menggunakan siasatan polis dan pendakwaan jenayah bagi menghapuskan atau mengusir individu yang menentangnya".
"Apabila ia menjadi terlalu jelas untuk anda mendakwa seseorang kerana dia musuh negara, anda perlu cipta suatu alasan," katanya.
Bapa Encik Li adalah Encik Lee Hsien Yang, yang telah memohon perlindungan suaka di Britain selepas membuat tuduhan sama terhadap Encik Lee Hsien Loong, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Mei lalu dan menyandang peranan sebagai Menteri Kanan di Kabinet.
Encik Li menarik perhatian kepada satu catatan Facebook yang dimuat naik secara privet pada 2017, di mana selepas catatan itu dimuat naik, "pemerintah Singapura mendakwanya dengan kesalahan jenayah".
"Saya meninggalkan Singapura secepat mungkin," katanya.
Catatan Facebook Encik Li yang dimuat naik pada 14 Julai 2017, menuduh pemerintah Singapura "mempunyai sistem mahkamah yang cenderung membuat tuntutan dan mudah dipengaruhi".
"Ini menghadkan apa yang selalunya boleh dilaporkan oleh media antarabangsa," katanya, di mana dia menyertakan pautan kepada rencana New York Times bertajuk "Censored in Singapore".
Dalam respons kepada NYT, Encik Lui berkata Singapura mengambil serius kedaulatan undang-undang dan Encik Li tidak dikecualikan dari muka pengadilan - dia sebelum ini didakwa atas kesalahan menghina mahkamah pada 2020.
Dia telah membayar denda S$15,000 yang dikenakan oleh mahkamah dan tidak disiasat bagi perkara lain selepas itu.
Dia juga boleh pulang ke Singapura pada bila-bila masa, kata beliau.
Dalam respons kepada dakwaan Encik Li bahawa lebih baik berjuang daripada mengalah, Encik Lui berkata Encik Li boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum seterusnya, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada November ini.
"Sebaliknya, Encik Li menggunakan statusnya sebagai cucu kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew dan menyerahkan dirinya kepada NYT untuk memberi analogi palsu bagi politik Amerika Syarikat," kata Encik Lui.
"Ia sangat dikesali kerana dia telah pilih untuk memburukkan negara di mana datuknya memainkan peranan penting dalam pembangunannya."
Video Encik Li di NYT juga menyebut tentang pelantikan Encik Lucien Wong sebagai Peguam Negara pada 2017, selepas beliau berkhidmat sebagai peguam peribadi mantan perdana menteri Lee.
Video The New York Times itu membuat perbandingan dengan tindakan kontroversial Donald Trump yang melantik Pam Bondi sebagai Peguam Negara.
Pada 2020, Bondi adalah sebahagian daripada pasukan guaman Trump bagi perbicaraan pendakwaannya yang pertama.
Selepas Parti Pekerja menyuarakan keprihatinan mengenai potensi berlaku konflik kepentingan berhubung peranan Encik Wong sebagai Peguam Negara, menteri kedua negara bagi undang-undang merangkap kewangan Indranee Rajah pada ketika itu, berkata di parlimen pada 3 Julai 2017 bahawa pelantikannya dibuat menyusuli proses "menyeluruh dan teliti".
Mantan PM Lee pada ketika itu kemudian berunding dengan Hakim Besar Sundaresh Menon, pengerusi Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam Eddie Teo serta peguam negara pada ketika itu V K Rajah sebelum meraih keputusannya, kata Cik Indranee.
Encik Lui berkata: "Tidak seperti gambaran suram yang ditonjolkan oleh anda dan Encik Li, Singapura yang dibangunkan oleh Encik Lee Kuan Yew menduduki tangga ke-16 dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2024, iaitu jauh di hadapan berbanding Amerika Syarikat selama bertahun-tahun lama.
"Indeks Persepsi Rasuah 2023 juga meletakkan Singapura sebagai negara kelima paling kurang rasuah di dunia - sekali lagi, jauh di hadapan Amerika Syarikat selama bertahun-tahun."
38 OXLEY ROAD
Dalam satu lagi surat kepada NYT yang bertarikh 15 Januari namun hanya didedahkan kepada umum pada 27 Januari, Encik Lui merujuk kepada rencana NYT diterbitkan pada 11 Januari yang berjudul "Why Singapore's First Family is Locked in a Bitter Feud Over a House".
Encik Lui berkata Singapura tidak mempunyai sebuah "keluarga pertama", dan tiada seorang pun yang dikecualikan daripada proses undang-undang, termasuk semua anak atau cucu mendiang Lee Kuan Yew.
Beliau juga menarik perhatian kepada "pembetulan yang mengelirukan tetapi cukup mendedahkan" dalam rencana itu, di mana ia menyatakan bahawa Cik Lee Suet Fern telah memberikan keterangan yang palsu tetapi akhirnya tidak benar mengenai peranannya berhubung wasiat itu.
"Bagaimana sesuatu yang 'palsu dan akhirnya tidak benar' bukan satu pembohongan?
"Hakim juga berkata Lee Hsien Yang "tidak berkata benar" dalam keterangannya dalam prosiding disiplin sebelum ini, dan Lee Suet Fern bertindak "secara tidak jujur" dalam prosiding mahkamah itu," kata Encik Lui, sambil menambah itu sebabnya mengapa mereka disoal siasat polis atas kemungkinan melakukan sumpah bohong.
Mereka juga enggan memberi kerjasama dan meninggalkan Singapura, sambil mendakwa diri mereka dianiaya, katanya.
JAWAPAN PEMERINTAH
Dalam respons berasingan kepada pertanyaan NYT pada Disember 2024, pemerintah Singapura berkata tuduhan dan dakwaan Encik Lee Hsien Yang dalam rencana bertarikh 11 Januari itu bertujuan "mengalihkan perhatian antarabangsa" daripada hakikat bahawa pasangan itu didapati oleh mahkamah telah mengelirukan mendiang Lee dalam pelaksanaan wasiat terakhir dan bukti.
Mereka juga didakwa atas sumpah bohong, menurut pemerintah.
Mahkamah mendapati Cik Lee Suet Fern "bertindak tanpa menghiraukan kepentingan" Encik Lee Kuan Yew dan "mematuhi arahan suaminya secara membuta tuli, yang merupakan seorang penerima manfaat penting di bawah wasiat di mana Cik Lee bantu melaksanakannya".
Encik Lee Hsien Yang berkata saga di sekitar 38 Oxley Road membuatnya sedar bahawa "terdapat masalah asas dari segi cara Singapura ditadbir dan dipimpin".
Pemerintah menyifatkannya sebagai "tuntutan besar" yang bertujuan "mengalihkan perhatian daripada isu sebenar" di mana mereka didapati mahkamah melakukan sumpah bohong.
"Pemerintah Singapura tidak pernah 'menyatakan bahawa ia boleh berfungsi tanpa pemeriksaan terhadap kuasanya', seperti yang anda dakwa," katanya.
Pemerintah Singapura,menurutnya, tertakluk kepada badan kehakiman yang bebas dan bertanggungjawab ke atas ahli parlimen yang dipilih.
Ia juga bertanggungjawab kepada rakyat Singapura menerusi pilihan raya umum, yang diadakan pada setiap selang masa tetap sejak kemerdekaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.