Skip to main content

Dunia

SG, Australia dan Jepun antara negara gantung khidmat kiriman barangan ke Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Australia dan Jepun antara negara gantung khidmat kiriman barangan ke Amerika

Bungkusan-bungkusan di atas tali sawat semasa Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) membuat persediaan untuk penghantaran di Pusat Pemprosesan dan Pengedaran Royal Palm pada 17 Disember 2024 di Opa Locka, Florida. (Gambar fail: AFP/Joe Redle)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 Aug 2025 07:36PM
SYDNEY: Australia pada Selasa (26 Ogos) menyertai negara-negara yang menggantung sesetengah penghantaran pos ke Amerika Syarikat, sebagai tindak balas terhadap "situasi yang rumit dan pesat berkembang" disebabkan oleh tarif yang semakin meningkat oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Menurut Australia Post, sebahagian besar barangan yang dihantar ke Amerika dan Puerto Rico tidak lagi akan diterima "sehingga diberitahu kelak".

Hadiah dengan nilai kurang daripada AS$100 (S$128), surat dan dokumen dikecualikan daripada penggantungan itu.

Langkah itu diambil selepas langkah serupa dilaksanakan oleh perkhidmatan pos lain, termasuk di Austria, Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, India dan New Zealand.

Pada 19 Ogos, Singapore Post (SingPost) mengumumkan bahawa untuk penghantaran ke Amerika Syarikat, selain surat tanpa nilai yang diisytiharkan, ia akan "menggantung penerimaan barangan dengan nilai komersial" melalui perkhidmatan biasananya berkuat kuasa 25 Ogos.

Pelanggan runcit boleh menghantar barangan dengan nilai komersial ke Amerika Syarikat menggunakan khidmat Speedpost Express, yang menurut SingPost, mematuhi syarat-syarat dan peraturan kastam terkini. Ini bagi memastikan semua penghantaran mematuhi dan mengelakkan isu-isu terhadap pelanggan, tambahnya.

Bagi para pelanggan korporat, selain daripada Speedpost Express, perkhidmatan baharu yang dipanggil Speedpost Direct International turut disediakan dan para pengurus akaun akan menghubungi pelanggan untuk membantu mereka menggunakan perkhidmatan ini.

Jepun juga mengumumkan bahawa hadiah peribadi ke Amerika Syarikat yang bernilai lebih daripada AS$100 dan barangan untuk dijual tidak akan diterima lagi mulai Rabu (27 Ogos).

Taiwan menyatakan bahawa ia akan berhenti menghantar kiriman pos berbentuk barangan ke Amerika Syarikat mulai Selasa (26 Ogos).

Pentadbiran Presiden Donald Trump menyatakan bahawa setakat 29 Ogos, ia akan memansuhkan pengecualian cukai ke atas pakej kecil bernilai AS$800 (S$1,030) atau lebih rendah untuk memasuki negara itu tanpa cukai.

Pengurus Besar Eksekutif Australia Post Gary Starr berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada menyediakan "perkhidmatan pos yang diyakini dan berdaya saing untuk para pelanggannya".

"Kami kecewa kerana terpaksa mengambil tindakan ini. Bagaimanapun, disebabkan situasi yang kompleks dan berkembang pesat, penggantungan separa buat sementara waktu ini diperlukan untuk membolehkan kami membangunkan dan melaksanakan huraian yang boleh dilaksanakan untuk pelanggan kami."
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita