SG, Amerika tegaskan perkongsian, kukuhkan kerjasama sempena 60 tahun hubungan diplomatik
SINGAPURA: Singapura dan Amerika Syarikat memulakan tahun baharu dengan menegaskan semula perkongsian mereka, dengan tahun 2026 menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri Lawrence Wong mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (2 Jan), menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).
“PM Wong dan Presiden Trump berkata bahawa 2026 menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dan Amerika Syarikat,” kata kementerian itu dalam kenyataan medianya.
“Mereka menegaskan kekuatan berterusan perkongsian saling menguntungkan yang merangkumi pelbagai bidang, serta mengalu-alukan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang sedia ada dan memperluaskannya ke bidang baharu.”
MFA menambah bahawa Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump kerana mengundang Singapura ke Sidang Puncak G20 yang akan diadakan di Miami, Florida, pada Disember.
“Singapura mengalu-alukan peluang untuk menyumbang kepada agenda G20 Amerika Syarikat, dan memajukan pertumbuhan ekonomi untuk semua,” kata beliau.
Encik Wong berkata dalam catatannya di laman Facebook bahawa Singapura akan memainkan "peranan membina” di sidang puncak tersebut dan menyumbang kepada agenda bersama bagi pertumbuhan dan kestabilan.
“Saya mengalu-alukan kunjungan ke Amerika Syarikat lewat tahun ini bagi memperingati detik penting ini dalam hubungan dua hala kita, serta mengukuhkan kerjasama dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber dan tenaga nuklear awam.”
Beliau juga berkata bahawa beliau mengucapkan terima kasih kepada presiden Amerika Syarikat atas kepimpinannya dalam memajukan usaha keamanan di peringkat global, termasuk membantu menjayakan gencatan senjata baru-baru ini antara Thailand dan Kemboja.
Kedua-dua pemimpin itu pernah bertemu di Korea Selatan pada Oktober tahun lalu. Mereka antara pemimpin dunia yang berada di Gyeongju untuk menghadiri sidang puncak ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Encik Wong menghadiahkan Encik Trump sebuah jaket Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) yang direka khas sebagai tanda penghargaan atas sokongan kukuh Amerika Syarikat terhadap latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di negara itu.
Jaket yang dihadiahkan kepada Encik Trump adalah sama seperti yang dipakai oleh juruterbang Singapura yang menjalani latihan di Amerika Syarikat, kata Encik Wong.
“Singapura menghargai perkongsian keselamatan kami dengan Amerika Syarikat,” tulis Encik Wong di Facebook pada ketika itu, sambil menambah bahawa beliau turut menyampaikan penghargaan mendalam Singapura atas sokongan Amerika Syarikat.
Menurut laman MFA, Singapura merupakan “rakan strategik yang boleh dipercayai dan teguh” bagi Amerika Syarikat, dengan kerjasama kukuh merentasi pelbagai bidang.
“Kami adalah antara rakan paling akrab Amerika Syarikat di Asia. Perkongsian kami disokong oleh kerjasama saling menguntungkan dalam bidang ekonomi, pertahanan, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah diperluaskan ke bidang baharu seperti keselamatan siber, perubahan iklim, angkasa lepas, serta teknologi kritikal dan baharu.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.