Skip to main content

Dunia

SEZ Johor-SG gerbang serantau transformatif, alih tumpuan kepada 'inovasi rentas sempadan'

Anggaran Waktu Membaca:
SEZ Johor-SG gerbang serantau transformatif, alih tumpuan kepada 'inovasi rentas sempadan'

Salah satu reruai di majlis pembukaan Pameran Perindustrian Johor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin pada 19 Ogos 2026. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Aug 2026 03:43PM
JOHOR BAHRU: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berfungsi sebagai gerbang serantau yang transformatif dengan memanfaatkan sinergi struktur antara kedua-dua ekonomi, mengubah paradigma daripada perdagangan rentas sempadan kepada inovasi rentas sempadan.

Presiden AutomationSG dari Singapura, Terence Teo percaya pandangan lapuk tentang Singapura dan Johor sebagai destinasi perkilangan yang saling bersaing sudah berubah kepada menjadi ekosistem kolaboratif.

"Selama bertahun-tahun, Singapura dan Johor kadangkala dilihat sebagai lokasi pengilangan yang saling bersaing.

“Saya percaya pemikiran itu sudah ketinggalan zaman. Pada masa depan bukanlah Singapura bersaing dengan Johor; sebaliknya Singapura dan Johor saling bergandingan," katanya semasa berucap pada majlis pembukaan Pameran Perindustrian Johor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin pada Rabu (19 Ogos).

Encik Teo berkata JS-SEZ membolehkan industri serantau menggabungkan keupayaan teknologi dan kewangan bernilai tinggi Singapura dengan skala dan kapasiti Johor.

"JS-SEZ menyediakan potensi untuk kita menggabungkan kekuatan kedua-dua ekonomi. Singapura membawa keterhubungan global, penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih, pembangunan teknologi, keupayaan kewangan dan akses kepada pasaran antarabangsa.

"Johor pula menyediakan tanah perindustrian, kapasiti pengeluaran, prasarana, bakat dan peluang pengembangan yang luar biasa," katanya.

Encik Teo menggariskan model baharu untuk penggunaan rantaian bekalan serantau yang boleh dilaksanakan di bawah zon ekonomi itu, dengan teknologi automasi generasi akan datang dibangunkan di Singapura, disahkan melalui institusi R&D, digunakan di seluruh kemudahan pengilangan di Johor, dan seterusnya diperluaskan merentasi pasaran ASEAN yang lebih luas.

"Saya percaya potensi sebenar JS-SEZ adalah untuk berfungsi sebagai gerbang bagi ASEAN. Peluang ini jauh melangkaui Singapura dan Johor. ASEAN hari ini mewakili populasi seramai 680 juta dan semakin penting kepada strategi pengilangan dan rantaian bekalan global," katanya.

Ketika syarikat global giat mencari lokasi yang menawarkan daya tahan, keterhubungan, teknologi, bakat dan akses langsung kepada pasaran pertumbuhan beliau percaya Singapura dan Johor boleh berganding bahu menawarkan peluang ini.

"Justeru, sasaran kita seharusnya lebih daripada hanya sekadar menarik kilang lain atau pelaburan lain. Kita harus membina ekosistem perindustrian yang dunia ingin sertai," tegas Teo.

Beliau berkata ekosistem itu perlu menyediakan ruang dan peluang bagi syarikat untuk berinovasi bersama-sama, akses kepada teknologi canggih bagi perusahaan kecil dan sederhana yang sebelum ini dikhaskan untuk syarikat multinasional, automasi progresif bagi pengeluar dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran untuk beroperasi bersama kecerdasan buatan (AI), robotik dan mesin bijak.

Dalam menangani cabaran operasi peringkat makro yang dihadapi pengeluar serantau seperti kekangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi, ketidakpastian rantaian bekalan dan piawaian kemampanan yang ketat, Encik Teo berkata kaedah lama yang digunakan untuk tujuan pengembangan tidak lagi mencukupi.

"Formula lama kita yang hanya menambah lebih ramai pekerja dan lebih banyak kapasiti pengeluaran tidak lagi mencukupi. Kilang pada masa depan bukan sahaja perlu lebih besar; ia juga perlu lebih bijak," katanya.

Bagi menyokong peralihan perindustrian ini, Encik Teo berkata AutomationSG sedang giat menggunakan kerangka Trusted Industrial AI Framework (TIA) persatuan itu yang dilancarkan pada akhir Julai, untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana serantau dalam menerima pakai huraian AI dengan tadbir urus, keselamatan dan pematuhan operasi yang betul.

Pameran Perindustrian Johor 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu hingga 21 Ogos itu dianjurkan oleh FBI Publications (M) Sdn Bhd.

Pameran itu menghimpunkan pemacu teknologi perindustrian, penyepadu robotik dan penyedia pengilangan bijak untuk mempercepatkan penerimaan Industri 4.0 di seluruh hab perindustrian Johor yang semakin berkembang.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita