Skip to main content

Dunia

Setiausaha Pertahanan Amerika terima pesawat Boeing 747 dari Qatar bagi kegunaan Trump

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth telah menerima pesawat Boeing 747 yang dihadiahkan oleh Qatar untuk digunakan oleh Presiden Donald Trump sebagai Air Force One, menurut Pentagon pada Rabu (21 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Pertahanan Amerika terima pesawat Boeing 747 dari Qatar bagi kegunaan Trump

Pesawat Boeing 747. (Gambar fail: AP/Ben Curtis)

Diterbitkan : 22 May 2025 07:51AM Dikemas Kini : 22 May 2025 07:52AM
WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth telah menerima pesawat Boeing 747 yang dihadiahkan oleh Qatar untuk digunakan oleh Presiden Donald Trump sebagai Air Force One, menurut Pentagon pada Rabu (21 Mei).

Pentagon akan "memastikan terdapat langkah-langkah keselamatan sewajarnya" dilengkapi dalam pesawat itu supaya ia selamat untuk digunakan oleh Presiden Donald Trump, kata jurucakap Sean Parnell.

Beliau menambah, pesawat itu diterima "mengikut semua peraturan dan undang-undang persekutuan".

Isu mengenai hadiah tersebut timbul semasa Presiden Trump melakukan lawatan ke Timur Tengah baru-baru ini.

"Mengapa harus pasukan tentera kami, dan justeru pembayar cukai, dipaksa membayar beratus-ratus juta dolar sedangkan mereka boleh mendapatkannya secara PERCUMA," kata Presiden Trump dalam catatannya di platform Truth Social semasa melakukan lawatan itu.

Sungguhpun demikian, ia menimbulkan kebimbangan sama ada pesawat itu melanggar larangan Perlembagaan terhadap hadiah-hadiah yang diterima dari negara asing.

Para pengkritik juga menarik perhatian kepada keperluan untuk mengubah suai pesawat itu bagi memenuhi piawai keselamatan, yang menelan belanja yang tinggi dan mengambil masa untuk mengubah suainya.

Presiden Trump ditanya mengenai langkah itu pada Rabu (21 Mei) semasa beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Afrika Selatan di Rumah Putih.

"Mereka akan memberikan sebuah pesawat kepada Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat," kata Presiden Trump.

Presiden Trump bagaimanapun tidak membentangkan keperluan keselamatan negara untuk menaik taraf pesawat tersebut dengan pantas, dan beliau tidak mahu menunggu Boeing menyelesaikan kerja-kerja pengubahsuaian pada pesawat Air Force One yang baharu yang mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk menyelesaikannya.
Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita