Skip to main content

Dunia

Setiausaha Negara AS Antony Blinken bincang dengan Menteri Luar China Qin Gang melalui panggilan telefon

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Negara AS Antony Blinken bincang dengan Menteri Luar China Qin Gang melalui panggilan telefon

(Gambar: AFP/Thomas Peter)

Diterbitkan : 14 Jun 2023 09:01PM Dikemas Kini : 14 Jun 2023 09:06PM
BEIJING: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dan Menteri Luar China Qin Gang mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon pada Rabu (14 Jun), rundingan peringkat tertinggi di tengah-tengah aktiviti diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Ketegangan meningkat dengan mendadak antara dua ekonomi terbesar dunia itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya mengenai Taiwan, yang Beijing tidak menolak kemungkinan akan merampas pulau itu secara paksa.

Encik Blinken dijadual tiba di Beijing pada Ahad (18 Jun) bagi menghadiri rundingan yang bermatlamat untuk meredakan keadaan. Ini selepas lawatan yang dirancangkan sebelum ini dibatalkan secara tiba-tiba pada Februari lalu.
Tetapi dalam panggilan mereka, yang berlangsung pada Rabu waktu Beijing, Encik Qin memberi amaran bahawa hubungan antara kedua-dua negara berdepan dengan "kesukaran dan cabaran baru" sejak awal tahun ini.

“Sudah jelas siapa yang bertanggungjawab,” kata Encik Qin, menurut Kementerian Luar China mengenai panggilan telefon antara kedua- dua diplomat kanan itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata Encik Blinken menekankan "betapa pentingnya untuk mengekalkan komunikasi terbuka bagi menguruskan hubungan AS-China secara bertanggunjawab bagi mengelakkan salah perhitungan dan konflik" dengan Encik Qin.

Encik Blinken juga "menjelaskan bahawa AS akan terus menggunakan pendekatan diplomatik untuk membangkitkan isu-isu yang menarik perhatian serta bidang-bidang yang berpotensi untuk bekerjasama," kata Encik Miller.

Presiden AS Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping bertemu di Bali pada November lalu dan bersetuju untuk meredakan ketegangan sebelum ia semakin tidak terkawal, termasuk menghantar Encik Blinken ke Beijing.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita