Skip to main content

Dunia

Setiausaha Kesihatan Amerika pecat semua ahli panel vaksin CDC

Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat, Robert F Kennedy Jr, telah memecat semua ahli panel pakar vaksin di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), dan kini dalam proses menyusun semula jawatankuasa tersebut, menurut kenyataan jabatan beliau pada Isnin (9 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Kesihatan Amerika pecat semua ahli panel vaksin CDC

Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syartikat, Robert F Kennedy Jr, memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Peruntukan Senat mengenai belanjawan jabatan itu, di Capitol Hill, Washington, DC, pada 20 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Ken Cedeno)

WASHINGTON: Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat, Robert F Kennedy Jr, telah memecat semua ahli panel pakar vaksin di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), dan kini dalam proses menyusun semula jawatankuasa tersebut, menurut kenyataan jabatan beliau pada Isnin (9 Jun).

Encik Kennedy memecat kesemua 17 ahli Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi (ACIP), menurut kenyataan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HSS), dan sedang mempertimbangkan ahli baharu untuk menggantikan mereka.

“Hari ini, keutamaan kami adalah untuk mendapatkan semula kepercayaan awam, lebih daripada sebarang agenda pro atau anti-vaksin,” kata Encik Kennedy.

“Orang ramai perlu tahu bahawa sains yang tidak berpihak - dinilai melalui proses yang telus dan bebas daripada konflik kepentingan - membimbing cadangan agensi kesihatan kita.”

Encik Kennedy mendakwa ACIP dipenuhi konflik kepentingan dan tidak pernah menolak sebarang vaksin, walaupun keputusan untuk meluluskan vaksin berada di bawah bidang kuasa Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

ACIP pula memberi panduan kepada CDC mengenai kumpulan yang paling mendapat manfaat daripada vaksin yang telah diluluskan, serta bila harus mereka mendapatkannya.

“Itu satu tragedi,” kata mantan Ketua Saintis FDA, Jesse Goodman, berkenaan pemecatan tersebut.

"Ini adalah kumpulan saintis dan doktor dan lain-lain yang sangat profesional ... Ia adalah jenis campur tangan politik yang akan mengurangkan keyakinan dan bukannya meningkatkan keyakinan."

Saham syarikat pengeluar vaksin seperti Moderna dan saham BioNTech yang disenaraikan di Amerika Syarikat masing-masing susut lebih satu peratus, manakala Pfizer mencatat penurunan kecil dalam dagangan lanjutannya pada Isnin.

Encik Kennedy, yang selama bertahun-tahun mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin serta membuat dakwaan yang bertentangan dengan bukti saintifik, berkata kebanyakan ahli ACIP menerima pembiayaan daripada syarikat farmaseutikal.

Namun, ahli ACIP diwajibkan mengisytiharkan sebarang konflik kepentingan yang berpotensi atau yang boleh dianggap sedemikian sepanjang tempoh keahlian mereka, termasuk kepentingan perniagaan, jawatankuasa, atau hubungan lain yang berkaitan dengan tugas ACIP.

Menurut seorang ahli yang dipecat dan enggan dikenal pasti, proses permohonan keahlian ACIP memerlukan pengisytiharan penuh termasuk pelaburan dan semua sumber pendapatan.

Encik Kennedy dan HHS tidak mengemukakan sebarang bukti khusus berkaitan konflik kepentingan industri dalam kalangan ahli ACIP yang dipecat.

Laman web CDC mengenai konflik kepentingan, yang dikemas kini pada Mac lalu, menunjukkan bahawa seorang ahli semasa ACIP telah menarik diri daripada mengundi bagi beberapa vaksin kerana pernah terlibat dalam ujian klinikal vaksin berkenaan.

Kesemua 17 ahli semasa ACIP dilantik di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, termasuk 13 pada tahun 2024, menurut HHS.

Tanpa pemecatan tersebut, pentadbiran Presiden Donald Trump tidak dapat menguasai majoriti jawatankuasa tersebut sehingga 2028.

“Ini bukan jawatankuasa politik dan tidak pernah bersifat partisan,” kata pakar undang-undang vaksin di UC Law San Francisco, Dorit Reiss. “Ia adalah jawatankuasa pakar. Presiden sebelum ini tidak pernah campur tangan dalam keahlian ACIP.”

Keputusan itu mengundang kritikan daripada ahli Democrat di Kongres, dan seorang ahli Republican turut meluahkan kebimbangan.

"Sudah tentu, sekarang kebimbangannya adalah ACIP akan dipenuhi dengan orang yang tidak tahu apa-apa tentang vaksin kecuali kecurigaan," kata Senator Republican Amerika Syarikat Bill Cassidy dalam satu catatan di X.

“Saya telah bercakap dengan Setiausaha Kennedy, dan akan terus bercakap dengannya untuk pastikan perkara ini tidak berlaku.”
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita