Skip to main content

Dunia

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Katie Zacharia dipecat selepas kurang seminggu memegang jawatan

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia, dipecat pada Jumaat (16 Okt) selepas kurang seminggu memegang jawatan itu, menyusuli beberapa kontroversi termasuk dakwaan bahawa beliau menyamar sebagai peguam dan kritikan terhadap sidang media pertamanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Akhbar Rumah Putih Katie Zacharia dipecat selepas kurang seminggu memegang jawatan

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia, memberikan taklimat kepada wartawan di Bilik Taklimat Akhbar James Brady di Rumah Putih, Washington, pada 13 Oktober 2026. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson)

Diterbitkan : 17 Oct 2026 08:18AM
White House Press Secretary Katie Zacharia fired after less than a week in the post
  • Katie Zacharia was fired on 16 October after just five days in the role, having replaced Karoline Leavitt as White House press secretary in Washington while President Donald Trump was campaigning ahead of the congressional midterm elections.
  • Her first news conference on 13 October was criticised for lasting less than 15 minutes, with Zacharia reading out Trump’s achievements and answering only three reporters’ questions.
  • Controversy grew after she admitted failing the bar examination, despite having previously introduced herself as a lawyer; an interview in which she defended herself did not ease the criticism.
  • Her remarks disparaging China prompted a rebuke from spokesperson Mao Ning, while support for Trump was reported to have fallen amid the Iran war, inflation and perceptions of corruption in his administration.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia, dipecat pada Jumaat (16 Okt) selepas kurang seminggu memegang jawatan itu, menyusuli beberapa kontroversi termasuk dakwaan bahawa beliau menyamar sebagai peguam dan kritikan terhadap sidang media pertamanya.

Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan pemecatan itu kepada AFP selepas Fox News melaporkan bahawa Cik Zacharia, 41 tahun, sedang dalam proses meninggalkan jawatannya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum itu memberi bayangan bahawa beliau mahu Cik Zacharia mempertimbangkan semula kedudukannya.

"Saya bertanya kepadanya, 'Katie, adakah jawatan ini sesuai untuk kamu? Kamu tidak perlu melakukan ini. Jika saya berada di tempat kamu, saya akan mempertimbangkannya semula,'" kata Encik Trump kepada wartawan.

Cik Zacharia baru lima hari memegang jawatan tersebut selepas menggantikan Karoline Leavitt, yang dikenali dengan pendekatan tegas terhadap media yang mengkritik pentadbiran Trump.

Sidang media pertama Cik Zacharia pada Selasa (13 Okt) menerima kritikan selepas berlangsung kurang 15 minit, dengan beliau membaca senarai pencapaian Encik Trump secara perlahan sebelum menjawab hanya tiga soalan wartawan.

Kontroversi itu menambahkan tekanan terhadap Encik Trump, 80 tahun, ketika beliau giat berkempen untuk membantu calon Parti Republican menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada 3 November.

Tinjauan pendapat menunjukkan sokongan terhadap Encik Trump semakin merosot menyusuli perang terhadap Iran, inflasi dan persepsi mengenai rasuah dalam pentadbirannya.
Related article image
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberikan kenyataan kepada wartawan ketika menuju ke helikopter Marine One di kawasan South Lawn, Rumah Putih, Washington, pada 13 Oktober 2026, sambil diperhatikan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson)
KELAYAKAN SEBAGAI PEGUAM DIPERSOAL

Cik Zacharia sebelum ini pernah memperkenalkan dirinya sebagai peguam dalam penampilan di televisyen dan media sosial, selain menyenaraikan dirinya sebagai penasihat undang-undang utama sebuah pertubuhan bukan mencari untung berhaluan konservatif yang berpangkalan di California.

Meskipun memiliki ijazah undang-undang daripada sebuah universiti di California, beliau pada Khamis (15 Okt) mengakui gagal dalam peperiksaan kelayakan guaman yang diperlukan untuk memulakan kerjaya undang-undang di Amerika Syarikat.

Beliau kemudian tampil dalam beberapa wawancara dengan saluran media yang menyokong Encik Trump bagi mempertahankan dirinya, namun usaha itu tidak berjaya meredakan kontroversi.

Dalam wawancara bersama pengacara Fox News, Sean Hannity, Cik Zacharia ditanya sama ada beliau pernah menduduki semula peperiksaan tersebut.

Beliau mengakui tidak pernah berbuat demikian, sambil menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat untuk menceburi kerjaya guaman.

Dalam satu lagi wawancara bersama saluran Real America's Voice pada Khamis, Cik Zacharia berkata beliau pernah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu, namun perhatiannya terganggu kerana sibuk membuat persiapan untuk berpindah ke China bersama suaminya.

Beliau turut mendakwa beberapa individu dalam bidang guaman pernah memberitahunya bahawa beliau boleh menggelarkan dirinya sebagai peguam kerana memiliki ijazah undang-undang.
Related article image
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia, bercakap kepada wartawan di Bilik Taklimat Akhbar James Brady di Rumah Putih, Washington, pada 13 Oktober 2026. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson)
KENYATAAN MENGENAI CHINA CETUS KONTROVERSI

Cik Zacharia turut mencetuskan kontroversi selepas mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan China dalam satu wawancara pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden China Xi Jinping baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi ke Washington sebagai tetamu Encik Trump.

Dalam wawancara bersama pempengaruh berhaluan kanan, Jack Posobiec, Cik Zacharia mengimbas tanggapan pada 2016 bahawa China bakal mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia.

Beliau mempersoalkan bagaimana China boleh menjadi kuasa besar dunia sedangkan, menurutnya, negara itu tidak mempunyai kemudahan tandas yang sempurna.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, pada Jumaat (16 Okt) membalas kenyataan tersebut dengan menyarankan supaya Cik Zacharia lebih kerap melawat China.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita