Setiausaha Agung PBB luah kebimbangan tindakan Israel sasar NGO
WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres meluahkan perasaan khuatir terhadap pengumuman pihak berkuasa Israel untuk menggantung operasi beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO) antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki, kata jurucakapnya pada Jumaat (2 Jan).
Menurut Anadolu Ajansi (AA), Encik Guterres menggesa agar langkah itu dibatalkan segera, sambil menegaskan bahawa NGO antarabangsa adalah nadi kepada kerja-kerja kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa dan penggantungan tersebut berisiko menggagalkan kemajuan kecil yang dicapai sepanjang tempoh gencatan senjata, jelas jurucakap ketua PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Langkah terbaharu itu dilaksanakan menyusuli pelbagai sekatan Israel sebelum ini yang melambatkan kemasukan bekalan asas ke Gaza.
Ini termasuk makanan, bantuan perubatan, barangan kebersihan, dan keperluan perlindungan.
Tindakan itu akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang meruncing dalam kalangan rakyat Palestin, tambahnya.
Encik Guterres menekankan bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Israel mempunyai kewajipan untuk membenarkan serta mempermudah laluan pantas tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan kepada semua orang awam yang memerlukan.
Beliau menegaskan semula bahawa semua rakan kongsi kemanusiaan mestilah dibenarkan beroperasi dengan selamat dan selaras dengan prinsip-prinsip kemanusiaan, menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.