Skip to main content

Dunia

Setiausaha Agung PBB kecewa Amerika tarik diri dari pertubuhan antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung PBB kecewa Amerika tarik diri dari pertubuhan antarabangsa

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 09 Jan 2026 01:38PM Dikemas Kini : 09 Jan 2026 01:40PM
  • Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Amerika Syarikat menarik diri daripada 31 entiti PBB dan 66 pertubuhan antarabangsa.
  • Pengumuman penarikan diri dibuat oleh Rumah Putih selepas Presiden Donald Trump menandatangani Memorandum Presiden pada lewat Rabu.
  • PBB menegaskan Amerika Syarikat masih diwajibkan membayar caruman belanjawan tetap mengikut Piagam PBB walaupun memotong dana dan menarik diri.
  • PBB berikrar akan terus melaksanakan mandat mereka dengan penuh tekad demi kepentingan negara anggota dan mereka yang bergantung kepada pertubuhan itu.
Dijana oleh AI
HAMILTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Khamis (8 Jan) melahirkan rasa kesal terhadap keputusan terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menarik diri daripada 31 entiti yang dikaitkan dengan pertubuhan antarabangsa itu, lapor Anadolu Ajansi.

“Setiausaha Agung kesal dengan pengumuman oleh Rumah Putih berhubung keputusan Amerika Syarikat untuk menarik diri daripada beberapa entiti PBB,” kata jurucakap Encik Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Reaksi PBB itu menyusul selepas Rumah Putih pada lewat Rabu (Jan) mengumumkan tindakan Presiden Donald Trump menandatangani "Memorandum Presiden" yang mengarahkan agensi-agensi pemerintah menarik diri daripada 66 pertubuhan antarabangsa yang didakwa pentadbiran itu tidak lagi memenuhi kepentingan Amerika Syarikat.

“Seperti yang sudah kami tekankan secara konsisten, caruman yang dinilai kepada belanjawan tetap dan belanjawan keamanan PBB, seperti yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung, adalah kewajipan undang-undang di bawah Piagam PBB bagi semua Negara Anggota, termasuk Amerika Syarikat,” kata Encik Dujarric.

Sambil menyatakan bahawa “semua entiti PBB akan meneruskan pelaksanaan mandat mereka seperti yang diberikan oleh Negara Anggota,” kenyataan itu menekankan bahawa PBB “mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada mereka yang bergantung kepada kami.”

“Kami akan terus melaksanakan mandat kami dengan penuh tekad,” katanya.

Menjawab soalan sama ada Amerika Syarikat sudah menghubungi atau memaklumkan PBB secara rasmi mengenai keputusan itu, Encik Dujarric dalam satu sidang media berkata: “Kami belum menerima sebarang komunikasi rasmi lanjut selain daripada apa yang disiarkan di laman Rumah Putih semalam.”

Ditanya sama ada Encik Guterres terkejut dengan keputusan itu, beliau berkata: “Saya rasa Setiausaha Agung, melihat kepada apa yang berlaku di dunia hari ini, sudah melangkaui kejutan.”

“Saya rasa beliau melihat perkara ini dengan jelas dan kekal komited,” kata Encik Dujarric.

Jurucakap PBB itu menegaskan bahawa walaupun Amerika Syarikat mengumumkan penarikan diri dan pemotongan dana, negara itu masih diwajibkan di bawah Piagam PBB untuk menyumbang kepada belanjawan tetap pertubuhan berkenaan.

“Oleh itu, negara anggota yang menandatangani dan menyertai pertubuhan ini perlu membayar yuran yang ditetapkan, selain terdapat juga yuran sukarela,” katanya.

“Piagam ini bukan menu sajian pilihan. Dan kami tidak akan merundingkan semula Piagam itu.”
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita