Skip to main content

Dunia

Setiausaha Agung PBB kecam serangan terbaharu penduduk penempatan haram Israel di Tebing Barat

Anggaran Waktu Membaca:
 Setiausaha Agung PBB kecam serangan terbaharu penduduk penempatan haram Israel di Tebing Barat

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 24 Mar 2026 09:53PM Dikemas Kini : 24 Mar 2026 09:55PM
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam serangan terbaharu yang dilakukan oleh penduduk penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Kecaman itu disampaikan dalam satu kenyataan oleh jurucakap Setiausaha Agung, Stéphane Dujarric, semasa sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York pada Isnin, yang menyentuh mengenai perkembangan di Asia Barat.

Encik Dujarric berkata: "Saya boleh memberitahu anda bahawa Setiausaha Agung mengecam serangan terbaharu yang dilakukan oleh penduduk penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka."

Beliau berkata  serangan yang semakin meningkat itu mengakibatkan kematian, kecederaan, dan kerosakan harta benda yang besar, selain menjelaskan bahawa serangan sedemikian kadangkala membawa kepada pemindahan seluruh masyarakat.

Encik Dujarric menegaskan bahawa Setiausaha Agung mengulangi pendiriannya bahawa penempatan haram Israel dan prasarana berkaitan "tidak sah di sisi undang-undang," serta menekankan bahawa ia merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk ketetapan PBB yang berkaitan.

Beliau berkata Encik Guterres menyeru agar ketegangan di Tebing Barat yang kini mencapai tahap membimbangkan dihentikan serta-merta, selain mendesak agar serangan terhadap orang awam dan harta benda mereka dihentikan, serta langkah konkrit diambil bagi memulihkan keadaan di wilayah berkenaan.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita