Skip to main content

Dunia

Setiausaha Agung PBB gesa pemimpin dunia lebih tegas basmi Islamofobia

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung PBB gesa pemimpin dunia lebih tegas basmi Islamofobia

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bercakap kepada media di sesi ke-55 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 26 Feb 2024. (Gambar: Fabrice Coffrini/AFP)

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran supaya tiada ucapan kebencian dihantar secara online semasa Hari Antarabangsa Untuk Memerangi Islamofobia yang jatuh pada 15 Mac ini.

“Ucapan kebencian online menjadi bahan api kepada keganasan dalam kehidupan sebenar,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita WAM.

“Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia berlaku pada masa kita menyaksikan peningkatan arus anti-Islam dan sikap tidak bertoleransi dalam banyak tempat di dunia,” katanya lagi. 

Beliau berkata, diskriminasi yang sudah menjadi kebiasaan dan halangan lain melanggar hak asasi manusia dan menjatuhkan martabat umat Islam serta retorik yang memecahbelahkan dan gambaran yang salah membawa stigma kepada masyarakat.

Kemunculan trend yang mengganggu itu merupakan sebahagian daripada corak serangan lebih lebar terhadap kumpulan agama dan golongan rentan termasuk Yahudi, masyarakat minoriti Kristian dan lain-lain, kata Encik Gutteres.  

“Kita harus berhadapan dan mencabut keluar akar sikap tidak bertoleransi ini dalam segala bentuk. Pemimpin mesti mengecam ucapan yang membangkitkan kemarahan dan keganasan serta melindungi kebebasan beragama.

"Platform digital harus menyederhanakan kandungan mengandungi kebencian dan melindungi pengguna daripada gangguan dan setiap orang perlu bersatu untuk memerangi sikap tidak bertoleransi, stereotaip dan berat sebelah,” katanya.

Setiausaha Agung PBB itu turut mengajak masyarakat dunia supaya saling hormat- menghormati dan memahami, memupuk perpaduan sosial dan membina sebuah masyarakat yang aman, adil dan inklusif untuk semua. 

Pada 2022, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi yang disokong oleh 60 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa  Untuk  Memerangi Islamofobia.

Dokumen tersebut menekankan keganasan dan fahaman pelampau tidak boleh dan tidak harus dikaitkan dengan sebarang agama, kerakyatan, peradaban atau kumpulan etnik.

Ia menggesa dialog sejagat bagi menggalakkan budaya yang bertoleransi dan aman, berdasarkan penghormatan kepada hak asasi manusia dan kepelbagaian agama serta kepercayaan.

Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita