Skip to main content

Dunia

Setiausaha Agung PAS disoal tentang 1MDB

Setiausaha Agung PAS Encik Takiyuddin Hassan memberi keterangan selama lebih empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (28 Feb) berkaitan siasatan dakwaan PAS menerima wang berjumlah RM90 juta (S$30 juta) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung PAS disoal tentang 1MDB

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Malaysia, Takiyuddin Hassan. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 07:40AM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 07:45AM

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PAS Encik Takiyuddin Hassan memberi keterangan selama lebih empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (28 Feb) berkaitan siasatan dakwaan PAS menerima wang berjumlah RM90 juta (S$30 juta) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemimpin PAS itu tiba pada kira-kira jam 9.20 pagi dan keluar dari bangunan itu pada kira-kira jam 1.50 petang.

Encik Takiyuddin yang ditemui media selepas memberi keterangan itu berkata beliau memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa beliau antara 10 orang pemimpin PAS yang menerima wang tersebut.

"Dia (SPRM) tanya mengenai dakwaan Rewcastle Brown (Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown) mengatakan saya ada motosikal mewah dan beberapa kereta kononnya daripada duit itu. Saya sudah jelaskan semuanya," kata Encik Takiyuddin.

Ditanya sama ada terdapat lagi pemimpin PAS yang akan dipanggil untuk memberi keterangan, Encik Takiyuddin berkata PAS akan memberi kerjasama dalam siasatan tersebut dan semua nama yang dinyatakan dalam dakwaan itu akan hadir jika diperlukan.

Pada 24 Februari lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Encik Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta disyaki daripada 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun bank PAS.

Sebelum ini, beberapa individu dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan tersebut antaranya Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, mantan Timbalan Presiden PAS Dr Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Encik Husam Musa.

Rewcastle Brown dalam rencananya bertarikh 6 Ogos 2016 mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS yang mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS Encik Abdul Hadi Awang membuat keputusan yang memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung rencana tersebut pada 1 Februari lepas.

Mengenai dakwaan Presiden PKR Encik Anwar Ibrahim yang beliau memiliki dokumen transaksi bank yang membuktikan PAS membayar RM1.4 juta (S$464,000) kepada Rewcastle Brown, Encik Takiyuddin berkata PAS sedia mendedahkan dokumen bagi menjawab dakwaan itu.

Sumber : Bernama/IL/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita