Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Setiausaha Agung OIC komited pertahan perjuangan Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung OIC komited pertahan perjuangan Palestin

Rakyat Palestin duduk di luar rumah mereka yang musnah di Jabalia, utara Carikan Gaza pada 17 Februari 2025. (Gambar: Bashar Taleb/AFP)

MANAMA: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha menegaskan komitmen organisasi itu dalam mempertahankan perjuangan rakyat Palestin serta menyokong hak minoriti Muslim di negara bukan anggota OIC.

Encik Hissein menekankan kepentingan menangani cabaran global yang mendesak melalui tindakan kolektif serta menekankan keperluan untuk memerangi Islamofobia, ekstremisme dan ucapan kebencian, sambil memupuk kesederhanaan dan toleransi.

"Para ulama dan cendekiawan perlu memikul tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dialog dalam kalangan umat Islam serta menyokong usaha membina masyarakat berasaskan keadilan dan saling menghormati," katanya ketika berucap pada Persidangan Dialog Intra-Islam di Manama pada Rabu (19 Feb).

Beliau turut menggariskan inisiatif OIC dalam memperkukuh kerjasama antara negara Islam dalam bidang sains dan teknologi, integrasi ekonomi serta keselamatan makanan, selain usaha menyokong pemerkasaan wanita, pembangunan belia, kebajikan kanak-kanak dan penjagaan warga emas.

Encik Hissein turut menegaskan keperluan memperhebat usaha bersama bagi memastikan masa depan yang lebih makmur untuk dunia Islam.

"OIC kekal komited dalam menyokong semua inisiatif yang menggalakkan kerjasama, dialog, kesederhanaan dan toleransi Islam," tambahnya.

Persidangan dua hari itu anjuran Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) di Bahrain dan Majlis Hukama Muslimin, dengan penyertaan lebih 400 ulama Islam, pemimpin agama, cendekiawan serta pakar dari seluruh dunia Islam di bawah tema “One Nation, One Shared Destiny”.

Sementara itu, Ketua Hakim Palestin merangkap Penasihat kepada Presiden Palestin bagi Hal Ehwal Agama dan Hubungan Islam, Shaikh Dr Mahmoud Al Habbash, menekankan kepentingan penganjuran persidangan ini ketika dunia Islam berdepan cabaran besar, khususnya dalam isu perjuangan Palestin dan perlindungan tapak suci.

Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh kesatuan umat Islam serta menekankan bahawa perpecahan dan cabaran yang dihadapi dunia Islam memerlukan solidariti dan perpaduan yang lebih erat.

"Memperkukuh kerjasama dalam kalangan umat Islam amat penting dalam menangani ancaman serantau serta memperjuangkan isu Palestin, yang kekal sebagai keutamaan dunia Islam," katanya.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan