Skip to main content

Dunia

Setiausaha Agung ASEAN, duta khas PBB bincang situasi Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung ASEAN, duta khas PBB bincang situasi Myanmar

(Gambar: Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur)

Diterbitkan : 06 Apr 2023 05:01PM
JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn menerima kunjungan Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Dr Noeleen Heyzer, di ibu pejabat Sekretariat ASEAN pada Khamis (6 Apr).

Kedua-dua pihak berbincang dan bertukar pandangan mengenai usaha serantau, khususnya ASEAN dan PBB, dalam menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan bekerjasama dengan Pejabat Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar.

Pada April 2021, ASEAN mengemukakan 5PC untuk membantu menamatkan krisis Myanmar selepas mesyuarat pemimpin serantau itu di Jakarta.

Dr Kao sebelum itu turut berkongsi usaha badan serantau itu dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan bagi yang memerlukan di Myanmar.

Menurut Sekretariat ASEAN, inisiatif itu diselaraskan oleh Setiausaha Agung ASEAN selaku Koordinator Bantuan Kemanusiaan ASEAN dengan sokongan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana.

Dalam pertemuan itu, Dr Kao turut menghargai sokongan padu masyarakat antarabangsa termasuk PBB, untuk ASEAN memainkan peranan utama dalam menangani situasi di Myanmar.

Negara itu terjerumus ke kancah krisis apabila tentera yang diketuai Jeneral Min Aung Hlaing, mengambil alih pemerintahan dalam rampasan kuasa pada Februari 2021.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita