'Setiap nyawa berharga': Penyu terdampar akibat tsunami Indonesia diselamatkan
Semasa melakukan operasi mencari para mangsa tsunami di kawasan pantai dipenuhi serpihan yang bertebaran, sebuah pasukan penyelamat menjumpai seekor penyu raksasa yang terperangkap di bawah timbunan sisa laut.
(Gambar: AFP)
KALIANDA, INDONESIA: Semasa melakukan operasi mencari para mangsa tsunami di kawasan pantai dipenuhi serpihan yang bertebaran, sebuah pasukan penyelamat menjumpai seekor penyu raksasa yang terperangkap di bawah timbunan sisa laut.
Seramai empat kakitangan diperlukan untuk membawa haiwan itu kembali ke laut dalam beberapa usaha terbaru menyelamatkan penyu-penyu di kawasan pantai negara itu yang musnah.
"Penyu itu amat besar dan ia terperangkap di bawah timbunan sampah sarap, dan dalam keadaan hampir terbalik," kata Adi Ayangsyah, salah seorang anggota pasukan mencari dan menyelamat di wilayah Lampung di pulau Sumatera, kepada agensi berita AFP hari ini (28 Dis).
Encik Adi berkata penyu itu "mungkin beratnya sekitar 30 kilogram".
Kira-kira 15 penyu turut diselamatkan di kawasan yang sama pada minggu ini.
"Kami berpendapat bahawa haiwan itu mungkin dihanyutkan ke tepi pantai akibat ombak tsunami," kata Teguh Ismail, ketua agensi pemuliharaan Lampung.
"Tetapi penyu-penyu itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Oleh itu, kami membawa haiwan tersebut kembali ke dalam laut."
Letusan gunung berapi Anak Krakatau, yang terletak di bahagian tengah Selat Sunda antara pulau-pulau Jawa dengan Sumatera, menyebabkan sebahagian kawah runtuh ke dasar laut, sekaligus mencetuskan ombak tsunami pada Sabtu (22 Dis).
Harapan untuk menemui mangsa-mangsa yang selamat belum pudar, namun pencarian tidak hanya terhad kepada manusia.
"Kami akan berjaga-jaga untuk mengesan penyu-penyu lain yang terdampar," kata Encik Adi.
"Bagi kami, setiap nyawa berharga. Manusia mahupun haiwan - kami akan mencuba untuk menyelamatkan semuanya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.