Skip to main content

Dunia

Sesetengah pelanggan sanggup disuntik air suling demi sijil vaksinasi palsu

Polis Terengganu mendedahkan terdapat individu yang sanggup disuntik dengan air suling asalkan dapat memperoleh sijil vaksinasi COVID-19 daripada seorang doktor klinik swasta yang didakwa melakukan kegiatan itu di Marang.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu mendedahkan terdapat individu yang sanggup disuntik dengan air suling asalkan dapat memperoleh sijil vaksinasi COVID-19 daripada seorang doktor klinik swasta yang didakwa melakukan kegiatan itu di Marang.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata setakat ini, pihaknya mengambil keterangan 23 individu daripada pelbagai latar belakang. Kesemuanya memiliki sijil vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera, namun mengakui tidak mendapatkan suntikan sebenar.

“Ada di antara mereka mengaku mengambil suntikan air suling atau air garam dengan alasan kononnya mereka tetap mendapatkan suntikan cuma tidak mengandungi vaksin COVID-19,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini (20 Jan).

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan siasatan membabitkan kes seorang doktor yang didakwa mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di klinik swasta di Marang.

Menurut beliau setakat ini, siasatan polis mendapati 1,223 nama individu yang berurusan dengan klinik berkenaan dihantar kepada pihak penjual untuk dikeluarkan sijil vaksinasi melalui MySejahtera. 

"Pihak klinik menghantar nama mereka kepada penjual untuk dimasukkan ke dalam MySejahtera tapi polis percaya tidak semua penama ini telah mendapatkan suntikan sebenar,” katanya.

Encik Rohaimi berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh klinik doktor berkenaan sudah disekat oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tiada lagi kesahan pada sijil yang dikeluarkan oleh klinik berkenaan dan polis juga mendapat kerjasama daripada pihak majikan yang mengesyaki pekerja mereka terlibat dengan kes klinik itu.

“Ada pelbagai kategori individu dipercayai terlibat termasuk kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat besar dan ada golongan yang tidak bekerja,” katanya.

Pada 8 Januari lalu, seorang doktor lelaki berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengeluaran sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar dengan mengenakan bayaran antara RM400 (S$128) hingga RM600 (S$192).

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita