Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sesetengah bank SG naikkan yuran, kadar faedah kad kredit

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah bank SG naikkan yuran, kadar faedah kad kredit
Diterbitkan : 30 Dec 2022 11:50AM Dikemas Kini : 30 Dec 2022 11:51AM
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya dua bank di Singapura mengumumkan perubahan pada kadar faedah dan yuran yang dikenakan pada bil kad kredit.

Salah satu daripadanya adalah HSBC yang menaikkan kadar faedah ke atas baki kad kredit tertunggak dari 25.9 peratus kepada 26.9 peratus setahun.

Yuran pembayaran lewat - bayaran tetap tambahan yang dikenakan apabila pemegang kad kredit tidak membayar jumlah minimum pada tarikh yang ditetapkan - juga akan dinaikkan dari S$55 kepada S$100.

HSBC juga menaikkan yuran pentadbiran bagi urus niaga kad mata wang asing dari 1.8 peratus kepada 2.25 peratus.

Perubahan-perubahan tersebut berkuat kuasa 4 Januari 2023.

Kali terakhir HSBC menaikkan kadar faedahnya adalah pada Ogos 2017 manakala yuran pentadbiran untuk urus niaga mata wang asing tidak disemak sejak November 2018.

Semakan pada yuran kad kredit dan kadar faedah adalah sebahagain daripada "semakan berkala" bank dan "selaras dengan piawaia industri", jurucakap HSBC memberitahu Mediacorp.

Bank itu juga tidak menyaksikan sebarang peningkatan pada pembayaran lewat pada tahun ini.

Sebuah lagi pemiutang asing, Maybank, menyemak semula yuran dan kadar faedahnya pada Oktober lalu.

Kadar faedah bagi pemegang kad kredit yang tidak membayar bil mereka sepenuhnya pada tarikh tamat tempoh atau mengambil pendahuluan tunai kini dikenakan kadar 26.9 peratus setahun, meningkat daripada 25.9 peratus.

Sesiapa yang membuat pembayaran lewat harus membayar sama ada 5 peratus daripada bayaran minimum yang perlu dibayar atau S$100, yang mana lebih tinggi.

Sebelum ini, yurannya adalah 5 peratus daripada bayaran minimum yang perlu dibayar atau S$80.

Maybank juga menaikkan yuran untuk mengambil pendahuluan tunai. Ia kini pada minimum S$15 atau 6 peratus daripada pinjaman tunai, yang mana lebih tinggi, berbanding S$15 atau 5 peratus sebelum ini.

Pemiutang-pemiutang lain yang menjawab pertanyaan Mediacorp turut menyatakan bahawa yuran dan kadar faedah mereka dinilai secara berkala.

DBS, bank terbesar Singapura, menyatakan ia menjalankan "semakan berkala bagi kadar faedah berdasarkan keadaan pasaran dan trend ekonomi".

OCBC, yang kadar faedah kad kreditnya kini 26.88 peratus menyatakan ia tidak membuat sebarang perubahan pada kadar faedah dan yurannya pada tahun ini.

Namun ia "dinilai secara kerap" dan "mungkin diselaraskan mengikut keadaan pasaran".

UOB memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak mempunyai rancangan untuk mengubah kadar faedah kad kredit buat masa ini.

Bank tempatan itu kali terakhir menyemak kadar faedah untuk kad kredit pada Januari 2020 dari 25.9 peratus kepada 26.9 peratus.

Pemilik kad kredit juga dinasihatkan supaya mengambil perhatian bahawa yuran berkaitan kad yang tertakluk kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mungkin akan disemak ekoran kenaikan GST darI 7 kepada 8 peratus pada bulan depan.

Ini termasuk yuran tahunan kad kredit.
Data daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menunjukkan bahawa hutang kad kredit di Singapura semakin meningkat namun kekal sihat.

Baki kad kredit tertunggak meningkat sebanyak 16 peratus pada suku ketiga berbanding setahun lalu, peningkatan paling kukuh sejak 2011, menurut semakan kestabilan kewangan tahunan MAS yang dikeluarkan pada bulan lalu.

MAS menegaskan bahawa kualiti kredit hutang jangka pendek "kekal sihat".
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan