Serangan udara tentera Myanmar ragut nyawa sekurang-kurangnya 50 orang

Bendera kebangsaan Myanmar. (Gambar: iStock/ugurhan)
Serangan itu berlaku semasa satu upacara dijalankan di utara Myanmar.
Orang awam dan sebilangan anggota kumpulan pemberontak tersebut adalah antara mereka yang terkorban.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar menyuarakan keprihatinannya dan dukacita atas laporan-laporan tentang serangan udara tersebut.
Pejabat PBB itu menyatakan, laporan-laporan awal menunjukkan lebih 100 orang awam mungkin terjejas oleh pengeboman itu.
Kumpulan pemberontak telah bertempur dengan pihak tentera sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Pertempuran antara kedua-dua pihak itu bertambah ganas menyusuli rampasan kuasa tentera pada tahun lalu.
Serangan udara yang berlaku pada lewat Ahad di wilayah utara Kachin, meragut nyawa orang awam, penyanyi terkemuka tempatan serta pegawai Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA).Demikian dilaporkan media tempatan berdasarkan saksi yang mengatakan serangan itu dilancarkan oleh tiga jet.
Seorang jurucakap junta itu bagaimanapun tidak dapat segera dihubungi untuk memberikan komen dan Reuters tidak dapat mengesahkan butiran laporan yang menyatakan serangan udara itu berlaku di daerah A Nang Pa di bandar Hpakant.
Pergerakan pembangkang, yang mana sebahagian daripada mereka bersenjata, muncul di seluruh negara di mana junta membalas dengan kekerasan yang meragut nyawa.
Jurucakap KIA, Naw Bu berkata serangan itu menyasarkan sambutan ulang tahun ke-62 pembentukan sayap politik tentera Kachin, Pertubuhan Kemerdekaan Kachin (KIO).
Pemerintah Perpaduan Nasional (NUG), iaitu sebuah perikatan kumpulan antijunta menyatakan mereka amat berdukacita atas kehilangan nyawa dan menggesa PBB serta masyarakat antarabangsa agar campur tangan dan menghentikan kekejaman itu dengan segera.
PBB berulang kali mengutuk junta Myanmar dan menuduh mereka melakukan jenayah kemanusiaan dan bertangguhjawab atas kematian orang awam.
Junta bagaimanapun menyatakan operasinya menyasarkan "pengganas".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.